Peraduan mewarna dan melukis Buletin Mutiara cungkil bakat seni tempatan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Johan peraduan Bakat Si Cilik – Mewarna 1/2019 anjuran Buletin Mutiara, Setor Ying Er, 10, ternyata gembira dengan kemenangan diperoleh.

Apakan tidak, menurut bapanya, W.K. Setor, 56, menyatakan bahawa penyertaan tersebut merupakan yang sulung buat Ying Er.

“Ying Er memang tidak ambil kelas seni di luar, belajar sendiri, atau kadang-kadang saya dan isteri sahaja yang ajar.

“Dari segi minat, memang saya nampak dia minat dalam seni, jadi kalau nanti sudah besar nak teruskan dalam bidang ini pun saya tiada halangan.

“Selain pertandingan Buletin Mutiara, Ying Er yang merupakan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu, Air Itam juga pernah memenangi pertandingan melukis dan mewarna di sekolah selain meminati bidang nyanyian,” jelasnya sejurus menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM250 dan sijil penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid di sini baru-baru ini.

Hadiah kedua dan ketiga bagi pertandingan Bakat Si Cilik – Mewarna 1/2019 masing-masing dimenangi oleh Chew Yu Qi, 11, dan Khor Jenny, 11.

Dalam pada itu, bagi pertandingan Melukis Poster Bertemakan Penang2030: Negeri Hijau Pintar dan Berteraskan Keluarga Yang Menginspirasikan Negara, ia dimenangi Lim Xing Ying, 18.

Kemenangan tersebut melayakkan Xing Ying membawa pulang RM500 dan sijil penghargaan.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, katanya, beliau mendapat tahu mengenai peraduan berkenaan melalui kawannya.

“Dari situ saya mencuba, dan banyak juga pertandingan-pertandingan lain yang saya sertai sebelum ini, ada yang menang dan ada juga yang dapat tempat ketiga serta ambil hadiah di Jepun.

“Mengenai bidang seni, saya memang meminati seni lukis sejak berumur lima tahun dan selalunya memang mendapat sokongan daripada keluarga,” jelas Xing Ying yang kini menuntut di sebuah kolej swasta di sini.

Mengulas lanjut, Syerleena yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Komunikasi berharap supaya pertandingan seumpama itu dapat diteruskan demi mencungkil bakat anak-anak muda tempatan.

“Tahniah kepada semua pemenang, saya akui semasa menjadi juri tempoh hari memang sukar, bagi saya, semua karya adalah cantik dan anda yang lain juga adalah pemenang.

“Kepada yang kalah jangan berputus asa, anda boleh cuba lagi untuk peraduan akan datang,” seru beliau.