Dua RTB di Seberang Perai Tengah atasi masalah banjir kilat

PADANG KOTA – Kerajaan Negeri kini sedang menjalankan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi menangani masalah banjir kilat di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Perkara tersebut dimaklumkan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leong pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 Hari Ketiga pagi ini.

“Melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kita sedang melaksanakan dua RTB negeri di kawasan SPT iaitu RTB Parit 5 dan RTB Parit 4 yang dijangka siap pada awal tahun 2021.

“Dalam tempoh pembinaan tersebut, sebanyak tiga pam telah siap sedia ditempatkan di beberapa lokasi kritikal di kawasan Bukit Tengah bagi menghadapi musim tengkujuh tahun 2020,” ujar Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Soalan lisan oleh Hsiao-Leong menyatakan, akibat daripada banjir kilat tersebut, banyak kerosakan rumah termasuk infrastruktur awam berlaku.

Justeru beliau amat berharap Kerajaan Negeri melalui JPS dapat mengatasi masalah tersebut yang sering membelenggu rakyat setempat pada musim tengkujuh.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD