Dua sektor tambahan dibenar beroperasi mulai 24 April dengan syarat ketat

Admin

GEORGE TOWN – Dua sektor tambahan melibatkan kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai dobi dibenarkan beroperasi mulai esok (24 April) mengikut syarat yang diperketatkan oleh kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang berlangsung pagi tadi.

Beliau berkata, kedua-dua sektor tersebut telah mendapat kelulusan untuk beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).

“Kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai dobi yang telah membuat permohonan dan kelulusan oleh MITI adalah dibenarkan beroperasi pada setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Justeru, adalah ditegaskan bahawa kita perlu terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengamalkan jarak sosial untuk menuju ke arah sifar COVID-19,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.

Datuk M.K. Kung menyampaikan cek sumbangan bernilai RM150,000 kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa tidak ada sebarang majlis berbuka puasa akan diadakan di masjid serta surau di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini dengan mengambil kira faktor keselamatan bersama.

Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Exco hal Ehwal Agama Islam dan juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Walau bagaimanapun, sumbangan dan agihan zakat kepada golongan asnaf dan golongan yang memerlukan tetap diteruskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri hari ini turut menerima sumbangan daripada Brst Group (mm2h) Sdn. Bhd. berjumlah RM150,000 kepada Tabung Covid-19.

Sumbangan disampaikan oleh Presidennya, datuk M.K. Kung kepada Kon Yeow sebentar tadi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMA RADZI

Video : ALVIE CHENG