Dua YB bermalam, RAGAS sokong perjuangan Kg. Pmtg. Tok Subuh

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong dan Lee Khai Loon (Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk) bermalam satu malam di Kampung Permatang Tok Subuh sebagai memberi sokongan moral pada perjuangan 52 keluarga setempat mempertahan hak penempatan masing-masing dari diusir oleh tuan tanah di sini.

Program komuniti itu diadakan serentak dengan Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma dan Program Derma Darah ‘Kampung Kami Tempat Tumpah Darah Kami’ anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS), Hospital Daerah Kepala Batas dan D’BM Hospital Permatang Pauh.

“Walaupun undang-undang tidak menyebelahi kita, isu kampung ini telah pun sampai ke pengetahuan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

“Ketua Menteri kata, macam mana pun jentera Kerajaan Negeri, termasuk Pejabat Daerah (Seberang Perai Tengah, SPT) akan bersama-sama penduduk.

“Kita akan pergi (menyelesaikan masalah ini) sejauh mana yang kita boleh pergi,” ujar beliau dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Tiga Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mair Md. Ghazali, Ho Leng Hong dan P. David Marshel serta Hamidah Che Embi (Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Hak Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh).

Hampir 100 warga setempat menyertai program komuniti tersebut.

Sebelum itu, Leng Hong yang juga pengamal undang-undang berkata, beliau sendiri akan mewakili beberapa penduduk setempat untuk memohon injuksi dalam perbicaraan mahkamah nanti.

Manakala, Pengerusi RAGAS, Zolkifly Md. Lazim pula berkata, pihaknya akan membantu berunding dengan tuan tanah dan pemaju serta kepimpinan negeri supaya penduduk setempat berwajib terus kekal dalam arus pemajuan kampung tersebut kelak.