DUN Batu Uban bakal terima gelanggang futsal pertama pertengahan Disember ini

BATU UBAN – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban bakal menerima gelanggang futsalnya yang pertama dari Kerajaan Negeri menjelang pertengahan Disember nanti.

Menurut ADUN Kawasan terbabit, A. Kumaresan, gelanggang yang dibina di padang Flat Hamna, Jalan Helang, Sungai Dua itu adalah mempunyai piawaian antarabangsa.

“Pembinaan ini merupakan hasil usaha permohonan saya kepada Kerajaan Negeri melalui Exco Soon Lip Chee (Exco Belia dan Sukan), jadi kita tidak mahu lengahkan lagi demi kepentingan rakyat di KADUN Batu Uban.

“Projek bernilai kira-kira RM177,000 ini akan melibatkan pembinaan gelanggang beserta pagar anti-climb, permukaan konkrit Gred 35, chain link beserta lampu limpah, jadi ianya boleh digunakan pada waktu malam juga,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Infrastruktur Sukan Gelanggang Futsal di Padang Flat Hamna baru-baru ini.

Hadir sama, Penghulu bagi Pejabat Daerah dan Tanah bagi Daerah Timur Laut, Mohd. Tajuddin Ramli dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Flat Hamna, Zulfadzli Noordin dan wakil kontraktor.

Mengulas lanjut, Kumaresan turut memohon pihak kontraktor untuk melakukan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat untuk menyiapkan tandas bagi kemudahan pengguna gelanggang tersebut kelak.

“Cuma saya berharap apabila ianya siap penduduk di sini sama-sama menjaga kemudahan ini elakkan perkara-perkara seperti vandalisme kerana ianya adalah kemudahan yang Kerajaan Negeri sediakan untuk semua,” ujarnya lagi.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI