DUN Pulau Pinang ditangguhkan setelah bersidang selama 5 hari

Admin

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak setelah bersidang selama lima hari sejak dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, TYT Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada 26 April lalu.

 

Usul penangguhan sesi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas disokong oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal setelah dibaca oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

Sebelum ditangguhkan, Yang di-Pertua DUN, Dato’ Law Choo Kiang menzahirkan penghargaan atas perkenan TYT Tun melafazkan ucapan perasmian baru-baru ini.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas kerjasama sepanjang persidangan berlangsung.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow juga berkesempatan menzahirkan pengharapan agar ADUN-ADUN dapat berusaha lebih gigih untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

 

Persidangan DUN Pulau Pinang kali ini diadakan di Dewan Sri Pinang rentetan bangunan Dewan Undangan Negeri sedia ada sedang dinaik taraf sehingga hujung tahun ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING