DUN Pulau Pinang masih mempunyai tempoh sah sehingga 2 Ogos 2023 – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang masih mempunyai tempoh sah sehingga 2 Ogos 2023 iaitu bermula dari tarikh persidangan pertama diadakan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, di Pulau Pinang, Mesyuarat DUN pertama diadakan pada 3 Ogos 2018, justeru jangka masa lima tahun itu dikira bermula hari pertama sidang bermula sehingga 2 Ogos 2023.

“Jika DUN tidak dibubarkan dalam tempoh itu, maka ia akan terbubar dengan sendiri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan tentukan tarikh bagi pilihan raya negeri dalam masa 60 hari.

“(Dan) dalam isu ini, saya akan serahkan kepada majlis pimpinan pusat kerana ia juga melibatkan dua lagi negeri di bawah pentadbiran PH (Pakatan Harapan) iaitu Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media dekat bangunan DUN di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang susulan kenyataan Menteri Besar Kedah yang memutuskan untuk membubarkan DUN negeri itu pada bila-bila masa selepas Mac tahun hadapan.

Pada masa sama, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang menyatakan bahawa pihaknya terbuka untuk sebarang perbincangan sekiranya keenam-enam negeri bersetuju untuk membubarkan DUN pada tarikh yang sama.

“Keputusan ini terpulang kepada PH atau Perikatan Nasional (PN) untuk menentukannya.

“Namun bagi PH, saya akan bawa kepada majlis pimpinan PH untuk menimbangkan tempoh yang sesuai iaitu mungkin pada awal Mei, Jun atau Julai,” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN