DUN Pulau Pinang namakan Fadhlina Siddiq, Lim Hui Ying sebagai senator baru

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sebulat suara bersetuju dengan penamaan peguam, Fadhlina Siddiq dan Lim Hui Ying sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) bagi tempoh tiga tahun.

Pelantikan Fadhlina diusulkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PH-Pinang Tunggal) dan disokong oleh Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Agama Selain Islam, Chong Eng (PH-Padang Lalang).

Sementara itu, pelantikan Hui Ying diusulkan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy (PH-Perai) dan disokong oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain (PH-Batu Maung).

Menurut Ahmad Zakiyuddin, Fadhlina, 44, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik menggantikan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff, yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Ogos lalu.

Beliau merupakan anak perempuan kepada mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil.

Selain itu, beliau juga merupakan Ketua Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR.

Fadhlina sangat lantang dalam mempertahankan hak-hak wanita dan kanak-kanak selain aktif melibatkan diri dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, Hui Ying, 58, yang sebelum ini juga merupakan seorang senator adalah Setiausaha DAP Pulau Pinang sejak November tahun 2013.

Beliau juga merupakan Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sejak Mei 2019.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD DAUD & AHMAD ADIL MUHAMAD