DUN Pulau Pinang tidak akan dibubar – Ketua Menteri

Admin

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Pulau Pinang tidak akan dibubarkan meskipun berlaku pembubaran Parlimen di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, Pulau Pinang mempunyai mandat yang kukuh bagi meneruskan pentadbiran sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya keputusan untuk pembubaran dibuat, ia hanya melibatkan Parlimen. Oleh itu, setiap negeri perlu membuat penilaian dan keputusan sendiri.

“Saya boleh katakan negeri Pulau Pinang tidak akan mengikuti langkah untuk pembubaran DUN kerana kita mempunyai mandat yang kukuh dan masih ada tiga tahun lebih lagi bagi menunaikan mandat ini,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang pembuatan berteknologi tinggi oleh Smith+Nephew dekat Persiaran Cassia 8 di sini sebentar tadi.

Pada 25 Februari lalu, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pulau Pinang hanya menerima impak ‘kecil’ kesan daripada situasi kecelaruan politik yang melanda negara kini.

Ulasnya, hanya terdapat dua wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding atas platform Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga akan meneliti manfaat-manfaat yang bakal diterima oleh pemain industri pelancongan di negeri ini ekoran pengumuman pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion semalam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS