Durian Seberang Perai tidak kurang hebat dan mampu dikomersialkan

Admin

SEKIRANYA sebelum ini keunikan dan populariti durian hanya tertumpu di Balik Pulau tetapi di kawasan Seberang Perai sebenarnya juga tidak kurang hebatnya.

 

 

Bagi mereka yang belum tahu, durian baka duri hitam atau dikenali sebagai orchee didaftarkan di Nibong Tebal.

 

 

Malah, satu lagi produk durian dari kawasan Seberang Perai kini dalam proses pendaftaran iaitu baka Tokun Top yang dihasilkan di Cherok Tok Kun dan Bukit Seraya dekat Machang Bubok.

 

 

Penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurufoto MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR dan ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI sempat menemu ramah dua pemilik dusun di Seberang Perai yang mempunyai produk durian premium setanding jenama-jenama lain.

 

 

Pemilik dusun keluarga di Cherok Tok Kun, CHANG CHI CHERN ketika ditemui berkata, durian baka Tokun Top baru-baru ini sudah dinilai oleh Jabatan Pertanian Malaysia dan akan digazetkan sebagai kelahiran Cherok Tok Kun Seberang Perai.

 

 

Menurut Chi Chern, Tokun Top sebenarnya sudah ditanam oleh kelaurga beliau lebih 50 tahun lalu melalui gabungan baka kampung tempatan.

 

 

“Keseluruhan kebun yang diwarisi daripada keluarga adalah seluas 12 ekar iaitu satu di Balik Pulau satu lagi di sini (Cherok Tok Kun).

 

“Tokun Top mempunyai rasa yang manis, berkrim dan sedikit pahit, sebenarnya dalam kalangan penduduk tempatan ia sudah lama terkenal, namun baru sahaja melalui proses pendaftaran.

 

 

“Baru-baru ini Jabatan Pertanian Malaysia datang untuk proses pendaftaran bersama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (Mohd. Muhaimin Ibrahim), dan melalui maklum balas diterima boleh dikatakan ia mempunya kualiti sederhana dengan lingkungan harga RM28 hingga RM30 sekilogram,” ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini.

 

Turut serta semasa kunjungan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ong Jing Cheng serta ahli keluarga Chi Chern iaitu Chang Yoong Heng dan Kathy Chong.

 

 

Hadir sama, pemilik dusun durian di Bukit Seraya, Mohd. Azmi Othman.

 

 

Lebih menarik lagi kata Che Chern, tanaman yang ada di kebun milik beliau tidak menggunakan sebarang racun perosak mahupun baja kimia.

 

 

“Modal setahun bagi kawalan perosak cuma RM3,000 dengan menggunakan mikroorganisma sebagai agen mengawal serangga bagi mendapatkan hasil yang stabil,” jelasnya lagi.

 

Sementara itu, Jing Cheng ketika bercakap kepada Buletin Mutiara memberitahu bahawa MBSP sudah menyiapkan satu garis panduan berkaitan bagi menggalakkan lagi industri ekopelancongan di Seberang Perai.

 

 

“Garis panduan ini dinamakan sebagai Garis Panduan Khusus Pemabangunan Berkonsepkan Chalet Inovatif di Seberang Perai yang telah diluluskan pada Oktober tahun lepas.

 

 

“Pembinaan chalet dalam kebun dilihat mampu membantu pengusaha ekopelancongan tetapi setakat ini masih belum ada mana-mana pihak yang membuat permohonan.

 

 

“Konsep ini selari dengan saranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang hanya membenarkan binaan sementara dan tidak mengganggu alam semula jadi,” ulas Jing Cheng yang akan menjalankan taklimat lanjut lagi kepada pekebun dan pengusaha.

 

 

Dalam pada itu, Khai Loon ketika diminta mengulas berharap agar pihak berwajib dapat membantu para pekebun di Cherok Tok Kun untuk mempromosikan durian supaya ia lebih dikenali sebagai lokasi menikmati durian setanding Balik Pulau.

 

 

 

 

Duri Hitam Seberang Perai Selatan

 

 

Menurut cerita LEOW CHEOK KIANG, selaku pemilik dusun di Valdor dekat Jawi, penghasilan durian baka duri hitam sebenarnya adalah secara tidak sengaja kira-kira 40 tahun dahulu.

 

 

“Saya dapat benih daripada seorang kawan dan bertindak melakukan kacukan bersama-sama durian lain.

 

 

“Duri hitam pada mulanya kelihatan berbentuk agak bulat dan sangkaan saya ia bukanlah satu baka durian yang baik mengikut kebiasaan.

 

 

“Namun sangkaan itu merosot apabila duri hitam (yang mempunyai duri halus bewarna hitam di hujung buah) menghasilkan rasa yang enak, lemak bersama isi berwarna jingga,” jelas Cheok Kiang ketika dikunjungi Buletin Mutiara pada 26 Jun lalu di Jalan Besar, Taman Rebana dekat Jawi.

 

 

“Menjadikan perniagaan menjual durian sebagai kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan minat yang amat mendalam mengenai raja buah tersebut.

 

 

“Saya sudah ikut bapa saya saya masuk ke kebun durian sejak umur lapan tahun lagi dan semuanya dipelajari di situ.

 

 

“Selain duri hitam, saya turut mengusahakan durian daripada baka-baka lain di kebun seluas 200 ekar yang turut dikongsi bersama kawan-kawan,” katanya yang mempunyai dusun di Sungai Baong, Jawi.

 

 

Pasaran bagi buah durian milik Cheok Kiang tidak hanya tertumpu pada jualan tempatan semata-mata bahkan produk dusun beliau turut dieksport sehingga ke China dan Hong Kong.

 

 

 

Mengulas lanjut, Cheok Kiang mengakui bahawa memiliki dusun durian berkualiti premium sememangnya menghadirkan cabaran tersendiri setiap kali tiba musim durian terutamanya melibatkan kes-kes kecurian.

 

 

“Selain perbuatan mencuri buah durian, faktor cuaca dan serangan oleh serangga perosak dan monyet juga menjadi cabaran dalam penghasilan durian berkualiti.

 

 

 

“Ilmu penjagaan pokok juga perlu ada, kalau di satu dahan mempunyai terlalu banyak buah, ada yang perlu dikorbankan untuk mengelakkan buah kekurangan isi dan saiz menjadi kecil akibat saingan.

 

 

 

“Sekiranya cuaca hujan pada musim bunga pula, penghasilan buah juga akan berkurangan apabila banyak bunga akan gugur,” maklum beliau.

 

 

Difahamkan, Cheok Kiang membelanjakan kira-kira RM200,000 setahun bagi menjaga lebih 1,000 batang pokok yang dimilikinya termasuk kos merawat pokok yang sakit.