Edisi terakhir Pesta Pulau Pinang dihiasi 18 permainan berteknologi Eropah

Admin
e20c6a5e a013 4d3a 9e87 e33a88819e09 TUN Ramli Ngah Takib (tengah) dengan diiringi Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah (kiri sekali), Ketua Menteri (dua dari kiri) serta barisan pemimpin lain turut meluangkan masa melawat gerai pameran sempena Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang Tahun 2025/2026 di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini pada 11 November 2025.

BAYAN LEPAS – Edisi ke-59 Pesta Pulau Pinang Tahun 2025/2026 yang berlangsung selama 36 hari mulai 6 Disember lalu hingga 10 Januari tahun depan merupakan edisi terakhir sebelum penganjuran ditangguhkan kira-kira enam tahun.

3b32bfc0 9194 4d79 935b c7d5178fd64d
KETUA Menteri menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang Tahun 2025/2026 di sini pada 11 Disember 2025.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran acara ikonik tersebut sepatutnya ditangguhkan pada edisi sebelum ini bagi memberi laluan kepada Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) melaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara serta Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

“Berdasarkan perkembangan terkini, MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak (Pesta Pulau Pinang) ini pada bulan April 2026, dan hal ini membolehkan Pesta Pulau Pinang diteruskan untuk edisi ke-59,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian edisi tersebut di sini pada 11 Disember 2025.

5e8bf339 aa69 4db9 a172 9fb21cbe1640Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dengan diiringi oleh isteri, Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar.

Menyorot sejarah, difahamkan bahawa Pesta Pulau Pinang mula dianjurkan pada tahun 1966 sebagai sebuah karnival jualan di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum, sebelum beroperasi secara tetap di Tapak Pesta Sungai Nibong sejak tahun 1974.

Berucap lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah serta Komunikasi berkata, Pesta Pulau Pinang yang terkenal dengan gabungan cahaya, hiburan, persembahan dan aktiviti ekonomi ketika musim cuti sekolah hujung tahun menerima antara 350,000 hingga 500,000 pengunjung setiap kali penganjurannya sebelum ini.

Dalam penganjuran edisi terakhir kali ini, beliau memaklumkan bahawa beberapa produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) turut diperkenalkan.

Selain itu, tambah Kon Yeow, produk PKS di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC); Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Pulau Pinang; Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA); Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Sarawak Economic Development Corporation turut diketengahkan.

Bertempat di Arena 1 Tapak Pesta Pulau Pinang, beliau berkata penganjuran kali ini menampilkan barisan artis retro dan moden seperti Kristal, Datuk Hattan, Zamani, XPDC, Datuk Awie, Ella, UK’s, Sensionist Band dan MP Band.

“Turut diadakan Malam Pesta Berselawat bersama kumpulan Inteam, U.N.I.C dan Ustaz Don.

“Malam ini juga kita berpeluang menikmati persembahan Ara Johari dan Haziq.

“Arena 3 menawarkan pelbagai program seperti Pesta Kucing, pertandingan sukan Silat, Tinju, Muay Thai, Kabaddi, E-Sport, Choral Speaking serta pameran pasukan keselamatan negara.

“Bagi golongan muda dan keluarga, taman hiburan Euro Fun Park menyediakan 18 permainan utama berteknologi Eropah, termasuk permainan baharu iaitu Air Force yang dibawa masuk dari Eropah.

“Turut disediakan 17 gerai permainan kecil serta kereta api mini khusus untuk kanak-kanak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

c23ebac3 ae80 4abf b6d2 d13a8d5b63cf
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow berkata pentadbirannya belum memuktamadkan sebarang cadangan dalam tempoh kerja-kerja tanah dilaksanakan selama enam tahun bermula pada April tahun depan di Tapak Pesta Sungai Nibong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SIEW CHIA EN

Video : ALISSALA THIAN