Ekspo Kerjaya dan Pendidikan USM bantu tingkatkan kebolehpasaran graduan, 13 & 14 Mac

Admin

GEORGE TOWN – Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) 2020 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama MMK Pembangunan Modal Insan Negeri bakal memberi peluang kepada para graduan khususnya, melalui perkongsian informasi mengenai kerjaya yang bersesuaian sekaligus membantu meneroka bidang-bidang baharu.

 

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, penganjuran EKSPEN 2020 dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan sekaligus membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membangunkan modal insan.

 

“Sebanyak 60 pempamer daripada industri, syarikat -syarikat SME (perusahaan kecil dan sederhana). agensi awam serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan menyertai penganjuran kali ke-14 ini.

 

“Penganjuran tahun ini akan melibatkan Karnival Keusahawanan dalam menggalakkan para graduan khasnya menceburi bidang keusahawanan seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.

 

Hadir sama, wakil penganjur dan penaja EKSPEN 2020.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Aldrin Abdullah yang hadir pada sidang media berkaitan menzahirkan rasa berbesar hati apabila USM diberikan pengiktirafan untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pendidikan tinggi utama.

 

PROF. Dr. Aldrin Abdullah.

“Penganjuran EKSPEN kali ini membabitkan 17 pusat pengajian di Kampus Induk dengan menawarkan lebih 200 peluang kerjaya dan latihan industri kepada mereka yang berkelayakan.

 

“Saya percaya dengan penganjuran EKSPEN ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar dan graduan USM tetapi juga membantu warga negeri Pulau Pinang dalam membuat keputusan mengenai pilihan kerjaya yang bersesuaian,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan barisan penaja utama EKSPEN 2020.

 

Bakal berlangsung pada 13 Mac dan 14 Mac 2020 di Dewan Utama Pelajar, Kampus Induk USM, EKSPEN 2020 bakal dirasmikan oleh Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi pada 13 Mac jam 10:00 pagi.

 

Jangan lepaskan peluang ini, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pameran, ceramah, slot taklimat dan perkongsian, klinik kaunseling kerjaya dan temuduga terbuka.

 

EKSPEN 2020 ‘Graduan Ulung Memimpin Kerjaya’.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN