Elemen bisnes gandakan minat murid kitar semula

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee mengesyorkan elemen bisnes turut diprogramkan dalam kempen kitar semula peringkat sekolah serta pra sekolah supaya menggandakan minat murid-murid untuk menyertai kempen nilai tersebut.

Menurut beliau, kepelbagaian syor baru sangat diperlukan, memandangkan kempen nilai anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mula diperkenalkan peringkat sekolah sejak 2010 lagi, serta diperluaskan ke pra sekolah bermula pada April lepas.

“Perlu ada kepelbagaian program lagi seperti terap elemen bisnes (perniagaan) supaya lebih menarik minat murid-murid.

“Anak kecil lebih mudah dididik untuk mengamalkan program 4R, iaitu Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle, selain melihat kitar semula merupakan satu lagi sumber (pendapatan),” ujarnya kepada wartawan di perkarangan Tadika Comel di sini baru-baru ini.

Menurut Lip Chee, jumlah kitar semula seberat 56,264.436 tan oleh MPSP di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, bersamaan dengan penjimatan kos sebanyak RM1,136,541.60.

Kira-kira 113 murid pra sekolah dari lapan tadika, serta komuniti setempat menyertai program, anjuran bersama MPSP dan Penang Green Council (PGC).

Mereka menanam 150 pokok bunga, tidak termasuk 34 pokok renek di sekitar kawasan berlangsungnya program tersebut.

Bengkel Kitar Semula serta demonstrasi menghasilkan sabun dari kitar semula minyak masak antara sesi menarik sepanjang program komuniti tersebut.

Difahamkan, sebanyak 47 anak pokok ditanam di sekitar kawasan Parlimen Nibong Tebal sejak April lepas, termasuk di Taman Berjaya di sini.