Pameran ‘Sketches of Memories. Penang’ tonjol keunikan negeri

Admin

GEORGE TOWN – Orang ramai kini berpeluang melihat sendiri keunikan Pulau Pinang yang diterjemahkan dalam bentuk seni lakaran dan lukisan sempena Pameran ‘Sketches of Memories. Penang’ di Bangunan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Lebuh Acheh dekat sini selama sebulan bermula 26 Mei lalu.

Pengurus Perhubungan Awam GTWHI selaku penganjur pameran, Jack Ong berkata, pameran yang dijalankan dengan kerjasama Mugong Living Merchant House, Taiwan memperkenalkan enam orang artis ‘luar biasa’ dari Taiwan dan Hong Kong.

“Inisiatif dijalankan artis-artis ini amat dikagumi dalam usaha mempersembahkan pandangan mereka terhadap keunikan di Pulau Pinang.

“Bagi pihak GTWHI, saya mengalualukan mana-mana artis yang mempunyai hasrat untuk mempamerkan hasil seni masing-masing berkaitan Pulau Pinang di sini,” katanya pada Majlis Pelancaran Pameran ‘Sketches of Memories. Penang’ di sini baru-baru ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai itu turut dihadiri kurator dari Mugong Living Merchant House, Koo Seong Ngok dan Sujata Ng serta wakil dari Urban Sketchers Penang, Ch’ng Kiah Kien.

Dalam ucapan Hon Wai, yang juga Ahli Lembaga Pengarah GTWHI menyatakan bahawa Kerajaan Negeri mengiktiraf hasil seni dan warisan terutama yang berkaitan dengan Pulau Pinang sama ada pada zaman dahulu kala ataupun yang terkini.

“Pembangunan kesenian dan warisan di Pulau Pinang perlu dihargai dalam usaha menarik minat semua golongan usia untuk lebih menghargai keunikan yang ada di negeri ini,” katanya.

Pameran ‘Sketches of Memories. Penang’ diadakan pada 26 Mei sehingga 23 Jun 2014 di Bangunan GTWHI setiap Isnin hingga Jumaat bermula dari jam 9 pagi ke 5 petang.