Elemen Penang2030 akan cuba dimasukkan dalam RSNPP, respons Kon Yeow

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa elemen pembangunan yang digariskan dalam Penang2030 akan cuba dimasukkan sebanyak mungkin dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP), memandangkan wawasan pembangunan masa depan negeri itu telah dilancarkan lebih awal iaitu pada 29 Ogos 2018.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sesi maklum balas awam Hari Terbuka Penang2030 Bersama-sama Pihak Berkepentingan Peringkat Seberang Perai di sini pada 14 Mac 2019.

Lebih 50 pihak yang terdiri oleh wakil universiti awam, penggerak syarikat multinasional, pekerja kilang, petani dan penduduk tempatan telah memberi maklum balas terhadap visi Penang2030, yang dikendali oleh wakil penyelidik Penang Institute (PI) dan Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity).

“Sebenarnya, Penang2030 telah dilancarkan pada 29 Ogos 2018, secara tidak langsung JPPD (Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Pulau Pinang) telah mengambil maklum.

“Saya fikir kita akan cuba semampu mungkin untuk memasukkan segala perancangan Penang2030 ini dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030.

“Inilah, sebabnya juga kita guna 2030 pada Penang2030.

“Tujuan utama supaya kita (Kerajaan Negeri) dapat menentukan program serta projek yang boleh dan akan dilaksanakan di bawah visi (Penang2030), menurut terma-terma yang ditetapkan,” jelas beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

Turut serta, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sesi maklum balas seumpama di sini akan dianjurkan di bahagian pulau dengan melibatkan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Ketua-ketua Jabatan serta pihak berkepentingan bagi sektor bukan kerajaan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut akan melancarkan makalah khas berhubung Penang2030 pada April ini demi memberi penjelasan lanjut mengenai wawasan pembangunan masa depan Pulau Pinang selama 11 tahun sehingga 2030.

Bertemakan “A Family-focused Green dan Smart State that Inspires the Nation”, sesi maklum balas awam sehingga jam 1.30 petang ini mengangkat empat tema utama iaitu meningkatkan daya huni serta kualiti kehidupan; menaik taraf ekonomi serta pendapatan isi rumah; memperkuasa rakyat serta menguatkan penyertaan sivil dan pelaburan untuk membina persekitaran yang berdaya tahan kuat.

Beberapa responden membangkitkan mengenai isu pendapatan isi rumah minimum untuk layak hidup di Pulau Pinang sepatutnya ditingkatkan dari RM1,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : CHAN KOK KUAN