EMAX 2026 kembali, perkukuh Pulau Pinang sebagai hab E&E dan semikonduktor serantau

Admin
img 20260430 wa0009

GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama pembuatan berteknologi tinggi dan semikonduktor serantau menerusi penganjuran Electronics Manufacturing Expo Asia (EMAX) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Julai 2026 di Pusat Konvensyen Setia SPICE.

 

 

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, EMAX 2026 kembali dengan skala yang lebih besar dan dijangka menarik penyertaan pemain industri global dalam usaha memupuk inovasi serta menyokong pertumbuhan ekosistem perindustrian di negeri ini.

 

 

Menurut beliau, penganjuran ini adalah amat bertepatan pada masanya memandangkan Pulau Pinang kini berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang sebagai destinasi utama pelaburan industri berteknologi tinggi, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan serta semikonduktor.

 

 

Pulau Pinang akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab utama bagi sektor pembuatan berteknologi tinggi dan industri berdaya maju.

 

 

“Acara seperti EMAX 2026 memainkan peranan penting dalam menarik pemain industri global, memupuk inovasi serta menyokong pertumbuhan ekosistem perindustrian di negeri ini.

 

 

“Ia juga dilihat mampu mempercepat transformasi Pulau Pinang sebagai hab global elektronik dan semikonduktor yang signifikan,” ujarnya pada sidang media di Komtar, pagi ini.

 

img 20260430 wa0015
JAGDEEP Singh Deo pada sidang media di Komtar pagi ini.

 

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur bersama, NRG Exhibitions (M) Sdn. Bhd. dan Fireworks Trade Media Group, serta barisan rakan strategik dan penaja.

 

 

Difahamkan, secara keseluruhan penganjuran EMAX edisi keenam ini dijangka menarik lebih 8,000 pelawat, dengan lebih 250 jenama terkemuka bakal dipamerkan serta penyertaan dari lebih 40 negara.

 

 

“Malah, pengunjung juga bakal menikmati pameran teknologi terkini, persidangan yang dikendalikan oleh pakar industri serta sesi padanan perniagaan yang direka untuk memperkukuh kerjasama dan memacu transformasi industri,” katanya sambil mengalu-alukan kehadiran pengunjung antarabangsa ke pameran tersebut.

 

img 20260430 wa0020

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NRG Exhibitions (M) Sdn. Bhd., Kenny Yong berkata, penganjuran edisi keenam EMAX bakal diadakan serentak dengan edisi kelima Penang Manufacturing Expo (PMAX), edisi kedua Semiconductor Manufacturing Expo Asia (SMAX), Asia Sustainable Factories Expo (ASFAX) dan Circuit Tech Expo Asia (CirTech).

 

 

“Penganjuran kali ini menyaksikan penyertaan antarabangsa melalui Singapore Pavilion oleh AUTOMATiONSG dan Tokyo Pavilion oleh Tokyo Metropolitan Small and Medium Enterprise Support Center, selain kehadiran syarikat-syarikat utama dari China, Korea Selatan serta negara serantau lain.

 

 

“Kami berharap inisiatif penganjuran yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem reka bentuk litar bersepadu (IC) ini dapat memperkukuh lagi landskap industri dengan menghubungkan lebih banyak sektor dalam ekosistem elektronik dan pembuatan, sekali gus mencipta nilai lebih besar kepada para pempamer dan pengunjung,” katanya.

 

 

 

Pendaftaran pelawat kini dibuka, sila layari https://fireworks-visitor.com/my-emax/.

 

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : SIEW CHIA EN