BERTAM – Amalan mengenali jiran dan mengambil berat terhadap komuniti perlu dijadikan budaya dalam kehidupan seharian bagi membentuk masyarakat yang lebih kukuh, prihatin dan saling menyokong.
Menurut Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik, kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung pada pembangunan fizikal, sebaliknya turut dipengaruhi oleh hubungan baik, kepercayaan dan kerjasama dalam kalangan komuniti.
“Justeru, masyarakat perlu memanfaatkan kepelbagaian bangsa, agama, bahasa dan budaya sebagai kekuatan dengan mengamalkan sikap saling menghormati dan memahami.
“Slogan ‘Kenali Jiran, Peduli Komuniti’ merupakan prinsip yang mudah tetapi penting dalam membina masyarakat yang saling mempercayai dan bekerjasama.
“Apabila kita mengenali jiran, kita lebih memahami keperluan mereka dan apabila kita peduli terhadap komuniti, kita lebih bersedia untuk bersama-sama menyelesaikan masalah,” ujarnya ketika merasmikan Program Semarak Perpaduan Komuniti Diperkasa Seberang Perai Utara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Bertam, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Perpaduan Negeri JPNIN, Rohai Zahar Nedi.
Tambah Choon Aik, peranan memperkukuh perpaduan bukan hanya terletak pada kerajaan, malah turut memerlukan penglibatan aktif pelbagai pihak termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), persatuan penduduk, badan agama, persatuan belia dan wanita, peniaga serta sukarelawan.
“Kerajaan akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi menyokong usaha masyarakat.
“Apabila semua pihak mengambil tanggungjawab masing-masing, kita dapat membentuk komuniti yang lebih berdikari, prihatin dan saling menyokong,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun itu.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan kerana mereka mempunyai tenaga, kreativiti dan idea baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Katanya, golongan muda perlu diberikan ruang untuk memimpin, menyumbang dan bekerjasama dengan generasi terdahulu bagi mewujudkan masyarakat yang lebih dinamik dan inklusif.
“Saya berharap program ini tidak terhenti sebagai acara sehari, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada lebih banyak aktiviti bersama yang melibatkan aspek sukan, kebudayaan, pendidikan, kebajikan dan kesukarelawanan.
“Masyarakat yang kukuh dibina melalui tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten dengan saling menghormati, mengambil berat dan bekerjasama,” katanya.