GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan sukan inklusif apabila menjadi tuan rumah edisi sulung Kejohanan Sukan Pelbagai Pekak Asia Pasifik 2026 yang menghimpunkan seramai 532 atlet dari 19 negara.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, penganjuran kejohanan tersebut sekali gus membuka ruang lebih luas kepada atlet pekak untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
Mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, beliau berkata, penganjuran kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi platform pertandingan sukan, malah medium penting untuk memupuk persahabatan, memperkukuh persefahaman serta meraikan kepelbagaian dalam komuniti sukan pekak serantau.
“Pulau Pinang berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kejohanan ini yang menyatukan atlet, pegawai dan pemimpin sukan dari pelbagai negara.
“Bagi Pulau Pinang, penganjuran kejohanan ini merupakan peluang untuk membuktikan bahawa sukan mempunyai kuasa menyatukan kita tanpa mengira latar belakang, bahasa atau keupayaan,” ujarnya pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan Kejohanan Sukan Pelbagai Pekak Asia Pasifik 2026 di St. Giles Wembley, di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, matlamat utama kejohanan tersebut adalah untuk menyediakan platform kepada atlet pekak bagi menonjolkan bakat, menguji kemampuan serta meningkatkan prestasi melalui pertandingan bertaraf antarabangsa.
“Pengalaman yang diperoleh menerusi kejohanan seumpama ini juga mampu menjadi persediaan penting ke arah penyertaan dalam temasya yang lebih besar, termasuk Sukan Pekak Asia Pasifik pada masa hadapan.
“Kejayaan atlet pekak sentiasa dihargai oleh Kerajaan Negeri dan komitmen ini turut diterjemahkan menerusi pengenalan kategori Anugerah Kecemerlangan Sukan Atlet Pekak dalam Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Pada kejohanan yang berlangsung dari 3 hingga 10 Oktober itu, lapan sukan dipertandingkan, antaranya olahraga, badminton, boling tenpin, ping pong dan catur.
Dalam pada itu, beliau mengajak masyarakat setempat untuk hadir memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai potensi serta pencapaian komuniti pekak dalam bidang sukan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Dr. Ong Shin Ruenn dan Presiden Konfederasi Sukan Orang Pekak Asia Pasifik, Mohammad Pargar.
Turut hadir wakil kedutaan negara-negara peserta, ketua jabatan dan agensi, wakil persatuan sukan negeri serta para penaja.
Dalam perkembangan lain, Zi Sen memaklumkan Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu Hari Sukan Negara yang dijadual berlangsung hujung minggu ini.
Maklum beliau keputusan tersebut diambil ekoran situasi semasa jerebu yang mana kebanyakkan tempat sekitar Pulau Pinang mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT