Empangan Air Itam masih cukup tampung penggunaan sehingga 66 hari – Kon Yeow

Admin
img 20240106 wa0038

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa paras air di Empangan Air Itam yang direkodkan pada tahap 66.7 peratus ketika ini masih mencukupi untuk menampung penggunaan bagi tempoh sehingga 66 hari.

Beliau berkata, Empangan Air Itam mengalami penurunan paras air daripada 83 peratus kepada 66.7 peratus ekoran insiden paip pecah di dasar Sungai Perai pada 18 Disember lalu yang mengakibatkan gangguan bekalan air membabitkan pengguna-pengguna di kawasan Barat Daya (pulau).

“Semasa insiden Sungai Perai berlaku, paras Empangan Air Itam adalah pada tahap 83 peratus tetapi telah merosot kerana jumlah pengeluaran air terawat dari loji rawatan air di Air Itam ditingkatkan kepada 40 juta liter sehari (JLH) berbanding 22 JLH pada kebiasaannya.

“Paras Empangan Air Itam dijangka akan terus menurun pada minggu akan datang kerana pengeluaran air terawat perlu ditingkatkan lebih banyak lagi semasa tempoh gangguan bekalan air berjadual mulai 10 Januari ini.

“Disebabkan penjanaan air terawat perlu ditambah untuk menampung bekalan air ke kawasan yang lebih luas, maka kita menjangkakan paras Empangan Air Itam akan merosot kepada 56 peratus sehingga 15 Januari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Capstone Corporate Suites dekat sini sebentar tadi.

Pada masa sama, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menasihati pengguna agar menjimatkan penggunaan bekalan air terutamanya menjelang musim perayaan memandangkan jumlah hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ditanya mengenai proses pembenihan awan, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri belum berhasrat untuk melaksanakan langkah tersebut buat masa ini.

“Proses pembenihan awan bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tambahan pula keadaan bekalan air di negeri ini belum berapa pada tahap kritikal,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS