GEORGE TOWN – Buat kali pertama dalam tempoh kira-kira empat tahun menyaksikan Empangan Air Itam yang berkapasiti 2,159 juta liter (JL) kini hampir penuh.

Dalam kenyataan bertulis semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan dipetik berkata bahawa kapasiti efektif empangan tersebut direkodkan pada paras 99.4 peratus pada 26 dan 27 Oktober 2025, dengan catatan tertinggi sebelum ini adalah 93.4 peratus pada 2 Disember 2021.
“Punca utama peningkatan (paras air) ini adalah disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan di kawasan tadahan air (KTA) empangan tersebut.
“PBAPP telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 526.5 milimeter (mm) di KTA Air Itam dalam tempoh kira-kita dua bulan iaitu dari 1 September 2025 hingga 27 Oktober 2025,” jelasnya pada 29 Oktober 2025.
Sehubungan itu, Pathmanathan memberitahu bahawa PBAPP sedang memaksimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam bagi pengeluaran air terawat.
“Kami (PBAPP) akan meningkatkan pelepasan daripada keberadaan 22 juta liter sehari (JLH) sehingga maksimum 65 JLH apabila perlu.
“Langkah memaksimumkan pelepasan air ini bertujuan mengelakkan lebihan air empangan dilepaskan melalui longkang dan sungai ke laut,” jelasnya lagi.
Pun begitu, tegasnya, PBAPP tidak akan melepaskan air dari empangan semasa ribut atau hari hujan apabila paras air laut tinggi bagi meminimumkan risiko banjir di kawasan rendah berdekatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa PBAPP menyasarkan paras air di Empangan Teluk Bahang mencapai kapasiti efektif antara 80 peratus hingga 85 peratus menjelang 1 Januari 2026, iaitu sebelum jangkaan bermulanya musim kering awal tahun.
“Empangan Teluk Bahang sedang ‘pulih’ secara berperingkat hasil daripada jumlah hujan sebanyak 788.5mm di kawasan tadahannya dalam tempoh 57 hari iaitu dari 1 September hingga 27 Oktober 2025.
“Perlu diingatkan bahawa kapasiti maksimum efektif Empangan Teluk Bahang adalah 18,240 JL; ia adalah empangan yang lebih besar iaitu kira-kira 8.5 kali ganda daripada kapasiti maksimum efektif Empangan Air Itam.
“Oleh itu, lebih banyak hujan dan masa diperlukan untuk memenuhkan empangan ini sepenuhnya,” tambahnya lagi.
Mengenai status Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) pula, Pathmanathan memberitahu bahawa PBAPP sejak 1 Januari tahun ini telah mengekalkan kapasiti efektif yang kukuh dan stabil bagi ‘empangan strategik’ tersebut.
“Rizab airnya hanya digunakan sebagai ‘sandaran’ kepada bekalan air mentah di LRA Sungai Dua semasa situasi kecemasan, apabila PBAPP tidak dapat mengepam air secukupnya dari Sungai Dua,” katanya.
Tambah beliau, PBAPP terus mengoptimumkan pengabstrakan air mentah dari sumber utama air mentah, Sungai Muda susulan hujan lebat di negeri Kedah.
“Susulan hujan lebat di negeri Kedah, paras air sungai telah berada pada tahap yang tinggi sejak 24 Oktober 2025, antara 3.16 meter (m) hingga 4.74m di muka sauk Lahar Tiang, Daerah Seberang Perai Utara (SPU); (yang mana) paras ‘selamat’ bagi pengabstrakan air optimum adalah 2.0m,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING