Empangan Mengkuang dibuka semula untuk aktiviti riadah

Admin

EMPANGAN Mengkuang yang ditutup sejak 2011 bagi projek pembesaran dan kerja-kerja berkaitan kini dibuka semula kepada orang awam untuk aktiviti riadah dan rekreasi.

Semua kenderaan hanya boleh diparkir khasyang disediakan dan tiada sebarang kenderaan dibenarkan melepasi kawasan ditetapkan.

Bukan hanya berfungsi sebagai empangan strategik bagi menyimpan bekalan air mentah bagi Pulau Pinang, malah empangan ini juga menjadi antara kawasan rekreasi pilihan orang ramai sama ada dari dalam dan luar negeri.

 

Menurut SARJAN MOHD. HAFIZ MD ISA yang merupakan anggota polis bantuan di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), lebih 1,000 kehadiran pengunjung dicatatkan pada hari pertama pembukaan empangan berkenaan semalam (10 Disember 2020).

“Mungkin empangan ini terletak dekat dengan sempadan antara negeri Kedah dan Pulau Pinang, jadi kehadiran pengunjung juga agak tinggi dari kedua-dua negeri.

“Untuk hari ini pula, sejak dibuka pada jam 7 pagi hingga jam 9.30 pagi ini hampir 700 orang pengungjung dicatatkan masuk ke kawasan ini dan saya jangka akan terus meningkat kepada 1,500 orang menjelang waktu petang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui pagi tadi.

Mohd. Hafiz Md Isa.

Bagaimanapun katanya, hanya 350 pengunjung sahaja dibenarkan masuk kawasan empangan pada satu-satu masa memandangkan keadaan penularan pandemik COVID-19 di negeri ini masih lagi meningkat.

“Kita memang akan kawal secara ketat daripada segi jumlah kehadiran pengunjung untuk mengelakkan berlakunya perebakan virus COVID-19 dan kita tidak mahu berlaku kluster baru di sini.

“Kalau ikutkan banyak juga pengunjung yang kita terpaksa arahkan mereka untuk berpatah balik kerana jumlah pengungjung sudah mencapai tahap maksimum dan mereka nampaknya memahami dan akur kepada arahan diberikan.

“Kita juga akan memantau aktiviti pengunjung di kawasan empangan bagi mengelakkan mereka melakukan aktiviti berkumpulan kerana kita masih dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan menemubual beberapa pengunjung bagi mendapatkan reaksi mereka berkaitan pembukaan semula empangan tersebut.

Nadirah Mahamad (kanan) bersama-sama rakannya Nor Effareena Fasha Zulkifle.

NADIRAH MAHAMAD, 25, bersama-sama rakannya NOR EFFAREENA FASHA ZULKIFLE, 25, memberitahu bahawa mereka amat tertarik dengan pemandangan indah yang dapat dilihat dari kawasan berkenaan.

“Selain untuk beriadah, saya juga sangat sukakan pemandangan bukit-bukau yang dapat dilihat dari kawasan empangan ini. Sangat cantik dan sesuai untuk bergambar serta bersantai.

“Cuma kalau boleh pada masa akan datang pihak berwajib dapat sediakan beberapa fasiliti seperti tandas atau pondok bagi memudahkan orang ramai,” katanya yang kini menetap di Nibong Tebal.

Bagi ISHAK SAAD, 69, Empangan Mengkuang merupakan tempat yang sesuai untuk berehat serta beriadah kerana kawasannya yang lapang selain dilengkapi dengan kemudahan parkir yang luas.

Ishak Saad.

Namun begitu katanya, beberapa perkara perlu ditambah baik seperti tempat istirahat atau menanam beberapa jenis pokok yang sesuai untuk membolehkan pengunjung berteduh daripada panas matahari.

“Kawasan sudah elok, berbanding dahulu sekarang nampak semakin lapang dan sesuai untuk orang ramai berjoging tetapi agak panas sebab tidak ada sebatang pokok pun di sini.

“Kalau tengok sekarang baru jam 9 pagi cuaca sudah begitu panas, cuba bayangkan bila masuk waktu tengah hari lagi panaslah,” katanya.

Mohd. Asri Rozali.

MOHD. ASRI ROZALI, 30, pula menyambut baik pembukaan semula Empangan Mengkuang kepada orang awam kerana kawasan berkenaan sememangnya menjadi lokasi untuk beriadah sebelum ditutup untuk kerja-kerja pembesaran.

“Sebelum empangan ini ditutup kepada orang awam, saya selalu datang ke sini untuk berjonging dan melakukan aktiviti sukan sekolah seperti merentas desa dan sebagainya.

“Cuma sekarang selepas ia dibuka semula banyak juga aktiviti yang sudah tidak dibenarkan seperti memancing dan berbasikal tapi kita akur sebab mungkin arahan ini dibuat demi kepentingan semua pihak,” jelasnya.

Difahamkan, pengunjung yang datang ke Empangan Mengkuang perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan PBAPP seperti mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, melakukan saringan suru badan serta memastikan penjarakan fizikal satu meter.

Pemandangan indah yang dirakan dari Empangan Mengkuang.

Selain perlu sentiasa menjaga kebersihan, pengunjung juga tidak dibenarkan melakukan beberapa aktiviti yang boleh mengganggu keselamatan dan keselesaan seperti membawa binatang peliharaan, merokok, berbasikal, menerbangkan dron dan memanjak tembok di sepanjang empangan.

Empangan Mengkuang dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD