Empat generasi pertahan warisan buah pala kilang klasik menyingkap warisan sejarah

Admin
whatsapp image 2026 06 15 at 8.56.40 pm (2)

JIKA menyebut Pulau Pinang, selain laksa dan nasi kandar, buah pala merupakan antara identiti unik yang cukup sinonim dengan negeri ini. Bagi kebanyakan pelancong, buah pala bukan sekadar cenderamata untuk dibawa pulang, malah ia menjadi simbol warisan dan kekayaan hasil bumi yang telah lama berakar dalam sejarah Pulau Pinang.

Buah pala juga tidak hanya dijadikan sebagai kudapan seperti jeruk dan halwa, sebaliknya isinya turut digunakan sebagai ubat-ubatan dan produk kosmetik seperti salap, minyak gosok, losyen serta krim anti selulit.

Di sebalik populariti buah ikonik itu, tersimpan kisah ketabahan seorang warga emas berusia 85 tahun yang masih gigih meneruskan legasi keluarganya dalam industri berkenaan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kilang Buah Pala Ghee Hup, CHANG KUN MING, terus menumpahkan bakti demi memastikan warisan yang dibina sejak empat generasi lalu tidak luput ditelan zaman.

Terletak di Balik Pulau, kilang berkenaan bukan sahaja menghasilkan pelbagai produk berasaskan buah pala, malah menjadi destinasi pelancongan yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat keistimewaan buah tersebut.

Menurut Kun Ming, sejarah penglibatan keluarganya dalam industri buah pala bermula sejak nenek moyangnya berhijrah ke Pulau Pinang pada tahun 1953.

“Jika dikenang kembali, nenek moyang saya berhijrah ke pulau ini pada tahun 1953 dan selepas itu, mereka memulakan perniagaan perdagangan buah pala yang kemudiannya menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

“Saya pula mula terbabit dalam perniagaan buah pala ini seawal usia 16 tahun dengan membantu bapa saya, Chang Sun Min membeli buah pala daripada penduduk kampung di sekitar kawasan Balik Pulau ini sebelum dijual semula kepada kilang tempatan.

“Walau bagaimanapun, pulangan ketika itu agak terhad dan kami terpaksa mencari peluang baharu bagi meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di kilangnya pada 3 Jun lalu.

Menurut beliau, sekitar sedekad kemudian keluarganya mengambil langkah berani dengan menceburi pengeluaran jeruk buah pala secara komersial, ketika industri tersebut masih belum berkembang secara meluas di kawasan itu.

“Pada waktu itu, tidak ramai yang mengusahakan pengeluaran jeruk buah pala secara komersial di kawasan ini.

“Namun begitu, kami bernasib baik kerana mempunyai hubungan baik dengan pembekal buah yang sentiasa memastikan bekalan buah pala segar mencukupi,” ujarnya.

Keputusan tersebut, beliau memberitahu bahawa menjadi titik perubahan penting kepada perniagaan keluarga. Selepas lebih empat dekad beroperasi, jenama Ghee Hup muncul sebagai antara pengeluar produk buah pala yang terkenal di Balik Pulau dan menjadi tumpuan pelancong tempatan serta antarabangsa.

“Malah ia turut menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan serta luar negara yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai buah ikonik Pulau Pinang itu terutama keistimewaan dan manfaat buah pala.

“Antara keistimewaan buah pala adalah hampir keseluruhan bahagiannya boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan seperti isi dan kulit buahnya boleh diproses menjadi jeruk.

“Manakala bijinya dikukus bagi menghasilkan minyak buah pala yang digunakan secara meluas dalam minyak urut dan salap tradisional,” katanya.

Keunikan buah pala, Kun Ming memberitahu bahawa terletak pada hakikat bahawa hampir tiada bahagiannya yang dibazirkan. Selain isi dan kulit yang diproses menjadi jeruk, kulit buah juga boleh dikeringkan untuk menghasilkan teh, manakala lapisan merah yang menyelaputi biji pala atau dikenali sebagai ‘mace’ merupakan rempah bernilai tinggi dalam industri makanan.

Kun Ming mengakui bahawa perjalanan mengembangkan perniagaan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah. Komitmen, minat mendalam dan semangat untuk mempertahankan warisan keluarga menjadi kekuatan yang membolehkannya terus bertahan.

“Sepanjang perjalanan ini, kami melalui pelbagai cabaran dan kesukaran, namun kami tidak pernah berputus asa.

“Hari ini, perniagaan ini masih kukuh dan saya berbangga kerana tradisi keluarga terus diwarisi,” ulasnya lanjut.

Kini, Kilang Buah Pala Ghee Hup menghasilkan pelbagai produk berasaskan buah pala termasuk jeruk, teh, jem, minyak ubat, salap dan jus buah pala yang menjadi antara produk paling mendapat sambutan.

“Jus buah pala adalah antara produk paling popular kerana rasanya yang menyegarkan selain dipercayai membantu melegakan sakit tekak dan batuk.

“Malah, buah pala sudah sekian lama digunakan dalam amalan kesihatan tradisional bagi membantu membuang angin dalam badan, melancarkan peredaran darah serta menyokong kesihatan jantung.

“Kami menghasilkan pelbagai produk buah pala yang menawarkan banyak manfaat kesihatan kepada pengguna,” katanya.

Selain berfungsi sebagai pusat pengeluaran, Kilang Buah Pala Ghee Hup turut memainkan peranan sebagai pusat pendidikan yang memperkenalkan keseluruhan proses penghasilan produk buah pala kepada pengunjung, bermula dari kebun sehingga menjadi produk siap.

Bagi ramai pelancong yang melangkah masuk ke Kilang Buah Pala Ghee Hup, pengalaman itu bukan sekadar membeli produk tempatan. Ia merupakan perjalanan menyingkap sejarah, warisan dan kegigihan sebuah keluarga yang telah mengabdikan hidup mereka kepada industri buah pala Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang, buah pala bukan sahaja menjadi ramuan penting dalam makanan dan minuman tradisional, malah terus kekal sebagai khazanah warisan negeri yang mencerminkan identiti serta sejarah masyarakat setempat dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Oleh : MOHD AIZAT SHARIF FISALLUDDIN

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS