Empat minit ‘masa emas’ mampu selamatkan mangsa serangan jantung – ADUN Berapit

Admin

BERAPIT – Dalam tempoh empat minit, serangan jantung terhadap seseorang inidividu di tempat awam memang boleh diselamatkan, sekiranya cepat menerima bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta sokongan kelengkapan pintar seperti alat Automated External Defibrillator (AED).

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee menyeru agar umum mengambil bahagian untuk mempelajari teknik asas resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan kaedah penggunaan AED di kawasan masing-masing.

“Masa keemasan dalam empat minit sahaja.

“Sejak tahun 2015, inisiatif Kerajaan Negeri memasang AED di kawasan awam telah berjaya membantu menyelamatkan empat nyawa.

“Jadi, pada hari ini, AED dipasang di Pasar Awam Kampung Baru Bukit Mertajam dan satu AED lagi akan dipasang di Pasar Awam Berapit.

“(Hal ini) kerana di kedua-dua kawasan ini adalah antara paling besar di kawasan saya (KADUN Berapit) dan tiap-tiap hari menerima pengunjung yang begitu ramai,” jelasnya kepada pemberita sebelum berlangsungnya bengkel latihan CPR dan penggunaan AED di Pasar Awam Kampung Baru Bukit Mertajam di sini pada 26 Ogos 2020.

SESI bengkel praktikal CPR.

Turut serta, Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Pasar Awam Kampung Baru Bukit Mertajam, Loh Peng Chai; dan Presiden Penang Heart Safe Society, Dato’ Dr. Luah Lean Wah.

Sejak tahun 2015 sehingga kini, difahamkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memasang 10 unit AED iaitu di Tingkat 3 KOMTAR; Taman Bandaraya (dikenali juga sebagai Taman Belia); Kiosk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Padang Kota; Terminal Bas Sungai Nibong; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Bukit Bendera; Menara Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Kompleks Renang MBSP di Jalan Betik dan Taman Rimba Cherok Tok Kun.

Dalam pada itu, Lean Wah ketika ditemui memaklumkan bahawa terdapat 62 unit AED untuk kegunaan orang awam.

“Jumlah ini tidak termasuk yang dipasang oleh pihak pengurusan kondominium dan bangunan milik persendirian,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS