Empat premis diarah tutup akibat kehadiran najis tikus

GEORGE TOWN – Empat buah premis di Jalan Magazine dan Jalan Gurdwara diarahkan tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan oleh Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati kehadiran najis tikus.

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan MBPP, M. Bawani, empat kedai yang diarahkan tutup itu terdiri daripada dua kedai runcit dan kedai makan (2).

“Ini merupakan siri ketiga kita (Bahagian Pelesenan MBPP) jalankan operasi (Ops Sihat) meliputi kedai runcit dan kedai makanan, kesemua kedai tersebut kita arahkan tutup selepas pemeriksaan yang dilakukan mendapati kehadiran najis tikus.

“Penutupan dibuat di bawah Undang-undang Kecil 38(1) Establisymen Makanan MPPP, 1991 dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis,” ujar beliau kepada pemberita sejurus tamat operasi.

Hadir sama, Penolong Pegawai Persekitaran Kanan Bahagian Pelesenan MBPP, Goh Eng Chun dan Penolong Pegawai Persekitaran, S.Sri Sarbahraj.

Tambah Bawani, kedai-kedai yang diarahkan tutup ini perlu menambah baik sebelum dibenar membuka operasi semula (minimum tiga hari).

“Mereka perlu tambah baik perkara yang kita nasihati terutamanya melibatkan kawalan serangga dan haiwan perosak seperti lipas, lalat dan terutamanya tikus.

“Sejak diberikan kuasa (penutupan) pada 1 November lalu, Bahagian Pelesenan (MBPP) sememangnya menjalankan operasi setiap minggu bagi menjamin kebersihan premis-premis makanan,” tambah beliau.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING