Enam terima surat tawaran sambung pengajian ke KITAB, tajaan penuh ZPP

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyampaikan surat tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma KITAB dan tajaan belajar daripada sumber zakat ZPP kepada Muhamad Nawawi Gazali (berkopiah putih) dalam Majlis Kasih Wakaf Etiqa KITAB di Kampung Tok Adam, Sungai Dua di sini pada pagi tadi.

SUNGAI DUA – Norhidayah Abu Bakar dan Muhamad Nawawi Gazali antara enam orang individu yang menerima surat tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma ke Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, dengan tajaan pengajian sepenuhnya daripada agensi negeri Zakat Pulau Pinang (ZPP).

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sendiri menyerahkan surat tawaran tersebut kepada semua penerima dalam Majlis Kasih Wakaf Etiqa KITAB di Kampung Tok Adam dekat sini pada 19 September 2020.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Nor yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Rektor KITAB, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali; Pengurus Besar Wakaf Pulau Pinang, Rosidi Hussain; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua, Mohd. Taufek Abdul Rahman serta wakil-wakil firma insurans Etiqa Takaful.

(Dari kanan) AMRAN Hazali, Rosidi Hussain, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Mohd. Taufek Abdul Rahman, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid; serta dua wakil Etiqa Takaful pada acara interaksi bersama-sama umat Islam lokal di sini tadi.

Ketika berucap, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini akan terus berusaha melaksanakan program-program sokongan ke arah meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta kualiti hidup rakyat terutama berkaitan kepentingan orang-orang Islam di Pulau Pinang.

“Di

PROF. Dr. Mohamad Abdul Hamid

bawah Kerajaan Negeri, kita merancang untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan kualiti hidup rakyat di Pulau Pinang.

“Kalau ekonomi maju, negeri maju tetapi umat Islam terus menganggap diri mereka mundur, tidak wajar.

“MAINPP serta agensi negeri lain seperti KITAB, ZPP dan Wakaf (Pulau Pinang) akan terus melaksanakan pelbagai program pembelaan umat Islam, seperti pemberian biasiswa atau tajaan pengajian sepenuhnya daripada sumber zakat untuk anak-anak kita melanjutkan pengajian di peringkat diploma.

“Justeru, menerusi Khaira Ummah (iaitu pelan pembangunan jangka panjang umat Islam selama sedekad sehingga tahun 2030 nanti), kita mahu semua pihak tinggalkan perspektif lama kononnya umat Islam dan orang-orang Melayu di Pulau Pinang terpinggir,” jelasnya yang juga ADUN Pinang Tunggal.

Sebelum pada itu, Rosidi ketika berucap memberitahu bahawa Wakaf Pulau Pinang sebagai agensi baharu yang bernaung di bawah MAINPP akan cuba menganjurkan program secara hibrid atau bergabung dengan institusi-institusi berwajib lain demi menyemarakkan lagi kesedaran umat Islam berkaitan peri penting ibadah wakaf di Pulau Pinang.

NORHIDAYAH Abu Bakar (kiri) ditemani ibunya.

Sementara itu, Norhidayah, 19, antara lain turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini kerana menawarkan tajaan penuh selama dua tahun untuk beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan kewangan di KITAB tidak lama lagi.

“Biasiswa yang ditawarkan dalam bentuk elaun sara diri RM400 pada tiap-tiap bulan.

“Saya adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu memang begitu minat subjek kewangan ini.

“Saya berasa begitu bersyukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri sebab diberi peluang melanjutkan pengajian dengan tajaan bantuan pendidikan sebegini,” katanya.

MUHAMAD Nawawi Gazali

Bagi Muhamad Nawawi, 18, turut merakamkan penghargaan kepada KITAB dan ZPP kerana memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam tahfiz Al-Quran, selama tiga tahun.

“Alhamdulillah, apabila ada bantuan tajaan ini, berasa tidak beratlah keluarga nak tanggung kos pengajian saya nanti.

“Saya sangat gembira kerana dapat dua peluang ini (iaitu melanjutkan pengajian ke KITAB dan dapat tajaan elaun pengajian ZPP),” ujarnya yang juga bekas murid Maahad Tahfiz Sirajul Quran, Seberang Jaya.

MOHD. Taufek Abdul Rahman (tengah) mengiringi Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyerahkan pek bantuan makanan kepada salah seorang penerima terpilih di sini tadi.

Pada majlis sama, Ahmad Zakiyuddin diiringi Amran dan Mohd. Taufek serta wakil Etiqa Takaful turut menyampaikan pek bantuan makanan kepada lebih 10 keluarga terpilih di KADUN berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING