Pakej nikmati durian dalam dusun

Admin

BALIK PULAU – Musim durian sekitar Balik Pulau yang ditunggu-tunggu penggemarnya tak kira warganegara atau pelancong asing kini kembali.

Pegawai Daerah Balik Pulau, Daud Abd. Hamid berkata, jenama ‘Durian Balik Pulau’ yang dipromosi saban musim di Pulau Pinang sekaligus mereputasi nama negeri di rantau ini.

“Berkonsepkan dusun, pengunjung dijanjikan pengalaman yang berbeza tahun ini.

“Mereka bukan sahaja dapat menikmati durian terbaik di sini, malah, turut dipakejkan adalah pengalaman menikmati durian di dalam dusun.

“Ini adalah membabitkan enam dusun terpilih bersempena penganjuran tahun ini,’’ katanya pada Majlis Perasmian Musim Durian Balik Pulau Telah Bermula di Tapak Rekreasi Anjung Indah di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr.Afif Bahardin.

Bersempena itu, pelbagai jenis durian disajikan, antaranya, Udang Merah, Musang King, Ho Lor, D24 dan Ang Bak Kia.

Afif memberitahu, tarikan durian Balik Pulau begitu kuat bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang, tetapi hingga ke luar negara.

“Para pekebun di sini diberikan sijil khas bagi membolehkan mereka memasarkan keluaran buah durian ke peringkat antarabangsa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Dijangkakan, musim durian kali ini adalah lebih panjang berbanding sebelum ini iaitu bermula pada pertengahan Mei lalu hingga Ogos nanti.