Erat silaturahim lima agensi kerajaan menerusi kejohanan hoki Piala Datuk Bandar MBSP

Admin
ANTARA aksi pemain MBSP di depan gawang lawan dalam saingan sulung Kejohanan Hoki Piala Datuk Bandar Edisi Pertama Tahun 2022 di Stadium Hoki Kompleks Sukan MBSP Bertam di sini tadi.

BERTAM – Kejohanan Hoki Sembilan Sebelah Piala Datuk Bandar Edisi Pertama Tahun 2022 yang mula membuka tirai saingan pada petang ini diharap akan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan agensi kerajaan yang menghantar pasukan.

AZHAR Arshad semasa menyampaikan ucapan perasmian pembukaan kejohanan tadi.

Semasa berucap, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad memberitahu bahawa kejohanan sulung itu disertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua pasukan dari Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PESSCA) dan MBSP sendiri.

“Kejohanan hoki seumpama ini diharap dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan agensi-agensi kerajaan pada peringkat negeri.

“Edisi pertama kejohanan Tahun 2022 ini diperkenalkan dengan penyertaan yang dihadkan hanya kepada agensi-agensi kerajaan di Pulau Pinang sahaja.

“Pada tahun-tahun yang mendatang, penyertaan akan dibuka kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan di seluruh Malaysia, insyaAllah,” jelasnya dalam acara berkaitan di Stadium Hoki, Kompleks Sukan MBSP Bertam, Kepala Batas dekat sini pada 25 Mac 2022.

Beberapa Ahli Majlis MBSP turut menyertai acara perasmian kejohanan yang dianjurkan secara ringkas mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Perlawanan sulung pada petang ini menyaksikan pasukan MBSP menewaskan PESSCA, 5-0.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS