Exco ajak belia sertai Youth with Rhythm: Raya Edition

Admin

GEORGE TOWN – Sempena Aidilfitri yang kian kunjung tiba, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sekali lagi menganjurkan acara persembahan bakat secara dalam talian melalui program Youth with Rhythm: Raya Edition.

 

Menerusi acara tersebut, beliau menjelaskan bahawa PYDC akan membawakan penampilan khas kumpulan Boria Omara yang mempunyai sejarah tersendiri di Pulau Pinang.

 

“Kerajaan Negeri amat komited dan sentiasa berusaha merealisasikan hasrat golongan belia terutamanya dalam bidang seni dan budaya.

 

“Sebagaimana visi Penang2030 yang merangkumi empat tema terdiri daripada pelbagai aspek pembangunan fizikal dan sosial, tumpuan kepada golongan pemuzik dan penyanyi muda sudah pasti menjadi antara intipati penting.

 

“Selain itu, adalah penting warisan kesenian kita seperti Boria untuk diwarisi serta didedahkan kepada generasi muda kerana inilah yang menjadi identiti dan kebanggaan anak jati Pulau Mutiara,” ujar Lip Chee dalam satu sidang media di Komtar di sini hari ini.

 

Menurutnya lagi, program Youth with Rhythm: Raya Edition akan diadakan pada 16 Mei 2021, jam 10:30 pagi secara live di Facebook PYDC.

 

Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling dan Timbalan Pengurus besar PYDC, Ng Hooi Ting turut sertai sidang media promosi tersebut.

 

Sementara itu, Sai Ling memberitahu bahawa mereka yang berminat menyertai acara tersebut boleh layari rasmi Facebook PYDC, dengan membuat imbas kod QR di poster berkaitan.

 

“Dari situ, anda perlu mengisi borang Google untuk memeriahkan Youth with Rhythm: Raya Edition pada tahun ini.

 

“Selain itu, peserta-peserta Youth with Rhythm dan penonton-penonton di laman Facebook rasmi PYDC juga akan berpeluang menyertai sesi cabutan bertuah dan berpeluang memenangi baucar tunai dan makanan,” maklum Sai Ling.

 

Tambah beliau, platform tersebut juga adalah tidak terhad kepada nyanyian semata-mata, bahkan segala bentuk persembahan, pertunjukkan bakat dibenarkan.

 

Difahamkan, peserta terlebih dahulu perlu menghantar demo kepada PYDC untuk sesi saringan kelayakan menyertai acara tersebut.

 

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pegawai Eksekutif Komunikasi PYDC, Ryan Brendon Joseph di talian 016-4281040  atau emel di [email protected].

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : TANUSHALINI MOROTER