PERAI – Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol bakal meneliti isu penguatkuasaan larangan aktiviti memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang diutarakan Pengusaha bot pelancong dan bot pemancing di sekitar Sungai Perai baru-baru ini.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu diteliti dengan mengambil kira aspek keselamatan, peraturan serta kelangsungan sumber pendapatan komuniti yang terlibat.
“Saya memahami bahawa di sebalik setiap bot yang beroperasi, terdapat keluarga dan rantaian peniaga kecil yang bergantung kepada aktiviti ini sebagai sumber rezeki.
“InsyaAllah, perkara yang dibangkitkan akan saya bawa untuk penelitian dan perbincangan bersama pihak-pihak berkaitan bagi mencari ruang penyelesaian yang terbaik,” ujarnya selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha bot pelancong dan bot pemancing di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, kemerosotan aktiviti berkenaan bukan sahaja menjejaskan pengusaha bot, malah turut memberi kesan kepada rantaian ekonomi berkaitan termasuk pembekal peralatan memancing, ais, bekalan makanan serta perniagaan kecil lain.
“Setiap pandangan dan keresahan yang disuarakan pengusaha akan diambil maklum untuk dibawa ke perbincangan bersama pihak berkaitan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh itu lagi.
Gambar: EXCO