BERTAM – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib meluangkan masa menghadiri Majlis Jamuan Teh Pemimpin Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) Bersama-sama TYT di Bertam Resort & Waterpark, Kepala Batas, pada 4 November 2025.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ketiga-tiga portfolio yang dipegangnya mempunyai hubungan yang saling melengkapi dalam usaha memartabatkan agenda kepimpinan belia sebagai rakan strategik utama dalam membina negeri dan negara yang progresif.
“Belia yang sihat tubuh dan mindanya akan menjadi tenaga penggerak kepada masyarakat yang aktif dan produktif.
“Namun, tonggak kepada semua itu ialah pendekatan kepimpinan dan pembentukan jati diri, yang menjadi fokus utama dasar pembangunan belia negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Beliau turut berkata bahawa pelancaran Skuad Sukarelawan MBNPP pada hari ini amat signifikan kerana melambangkan semangat kesiapsiagaan, keprihatinan dan solidariti belia negeri dalam menghadapi pelbagai cabaran masyarakat.
“Saya percaya skuad ini akan menjadi platform penting untuk menggerakkan tenaga sukarelawan belia ke arah kerja-kerja kemanusiaan, kebajikan dan kesiapsiagaan bencana di peringkat negeri.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa membuka pintu kerjasama dengan semua pertubuhan belia,” katanya lagi.
Sebelum itu, Presiden MBNPP, Vincent Tan Chor Lim dalam ucapannya berkata, penganjuran majlis tersebut menjadi simbol perpaduan dan semangat muhibah, selain menyerlahkan hubungan erat generasi muda dengan Kerajaan Negeri serta TYT Tun Ramli sendiri.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Jamuan Teh Pemimpin Belia Negeri Pulau Pinang, Muhammad Amirul Abdul Safar, dan Pengerusi Dewan Tertinggi Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Mohd. Nur Azri Kamurudin.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB