Exco ‘bimbang’, saran pelajar diberi vaksin sebelum buka sesi persekolahan bersemuka

JAGDEEP Singh Deo (kiri) diiringi R. S. N. Rayer dalam sidang media seusia melawat tapak PSC-19 di sini hari ini.

DATUK KERAMAT – Menteri berkaitan diminta memberi jawapan di sebalik pengumuman pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka mulai 1 September ini sedangkan semua populasi bukan dewasa di negeri ini langsung tidak menerima vaksin di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, program saringan massa, Penang Saring COVID-19 (PSC19) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara percuma hari ini, membenarkan kanak-kanak membuat ujian calitan berkaitan, namun urusan memberi vaksin kepada mereka mesti diputuskan pada peringkat Putrajaya.

“Adakah kita nak mendedahkan semua populasi kanak-kanak yang kita sayangi ini terhadap risiko jangkitan (COVID-19),” tanya Jagdeep pada sidang media ringkas selepas meninjau pelaksaaan siri ke-38 PSC19 di Padang Awam Taman Free School di sini pada 14 Ogos 2021.

JAGDEEP Singh Deo (belakang, tengah) diiringi Ir. Addnan Mohd. Razali (belakang, kanan) menyaksikan petugas kesihatan sedang membuat ujian calitan terhadap salah seorang peserta PSC-19 di sini tadi.

Turut serta Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Sehubungan itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menegaskan bahawa beliau berpendapat populasi bukan dewasa juga berhak mendapatkan dua suntikan vaksin lengkap terlebih dahulu, barulah dibenarkan kembali ke sesi persekolahan secara bersemuka.

“Sehingga ada jaminan bahawa semua pelajar dilindungi (menerima vaksin lengkap), baru boleh mereka kembali ke sekolah.

“Selagi tak beri mereka (murid-murid) vaksin, jangan buka sesi persekolahan (secara bersemuka),” tegasnya sambil menganggap ia adalah pendapat peribadinya sebagai seorang ‘ayah’.

Sementara itu, Hon Wai pula merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Jagdeep atas penganjuran PSC19 meliputi empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dalam Parlimen Bukit Bendera iaitu Air Itam, Pulau Tikus, Kebun Bunga dan Tanjong Bunga.

Bagi Chun Kit pula, beliau memuji populasi dewasa yang mengambil kesempatan menyertai PSC19 dengan mendaftarkan diri menerusi https://penangsaring.selangkah.my sungguhpun telah lengkap mendapat dua suntikan vaksin.

“Paling penting, dengan menyertai PSC19, mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala masih boleh dikesan sekali gus mencegah perebakan COVID-19 ini,” jelasnya.

Setakat ini, jumlah pendaftaran PSC19 adalah seramai 35,510 orang; dengan 30,749 individu telahpun mengambil ujian calitan.

Daripada jumlah tersebut, 5.65 peratus atau 1,736 individu disahkan positif COVID-19 menerusi kaedah RTK-Antigen; manakala 935 orang (3.12 peratus) disahkan menerusi RT-PCR.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN