Exco cadang projek perumahan baharu sediakan jaringan internet sebagai syarat sijil layak menduduki

BATU MAUNG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mencadangkan penyediaan sambungan internet diwajibkan bagi semua projek perumahan yang bakal dibina di negeri ini.

Katanya, cadangan itu telahpun dibangkitkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Kuala Lumpur, semalam.

Justeru, Jagdeep memberitahu pihaknya berhasrat untuk berbincang lanjut mengenai cadangan itu dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Jadi, saya berbincang dengan Zuraida semalam sama ada bolehkah kita wajibkan kepada semua projek perumahan baharu mempunyai jaringan fiber optik, buat masa ini perkara ini bukan perkara wajib untuk memenuhi syarat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tetapi, saya difahamkan sesetengah projek perumahan termasuk One Foresta sudah mempunyai jaringan jalur lebar tersedia, cuma hanya perlu dihubungkan dengan talian utama sahaja.

“Gobind juga dilihat menyokong idea berkenaan dalam menjadikan bandar-bandar di Malaysia terutamanya Pulau Pinang lebih mesra internet,” ujar beliau pada satu sidang media dekat Majlis Penyerahan Kunci Kepada Pembeli Projek One Foresta, Bayan Lepas tengah hari tadi.

Turut hadir, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ketua Pegawai Operasi Ideal Property Group, Datuk Ng Tyan Ping.

Tambah beliau, internet kini bukan lagi kemewahan dan kehendak, tetapi ianya telah menjadi satu keperluan asas yang utama.

“Sekarang apabila memohon Sijil Layak Menduduki (CCC) pemaju tidak perlu menunjukkan sambungan internet namun saya cadangkan selepas ini ianya adalah syarat wajib,” jelasnya yang juga ADUN bagi Datuk Keramat.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Jagdeep menyatakan Pulau Pinang boleh menjadi perintis kepada syarat terbabit.

Pada majlis tersebut, sebahagian daripada 1,343 pembeli projek One Foresta hadir bagi menerima kunci rumah masing-masing dari pemaju.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD