Exco dorong belia sertai kursus kulinari, tingkat kemahiran jana pendapatan tambahan semasa COVID-19

SOON Lip Chee (kanan) mendapatkan maklum balas daripada dua pelatih kursus kulinari di sini pada pagi tadi.

MACHANG BUBUK – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap kursus kulinari yang dianjurkan oleh jabatan negeri berkaitan dapat meningkatkan lagi kemahiran belia, seterusnya menjana pendapatan tambahan mereka dalam mengharungi pandemik COVID-19 kini.

SOON Lip Chee

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berkata demikian selepas merasmikan Kursus Masakan Set Nasi Briyani Komok 2020 di Pejabat Pertanian Cherok To’Kun dekat sini pada 7 November 2020.

Menurut beliau, seramai 20 orang belia menyertai kursus kendalian Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) kali ini, sungguhpun sasaran asal adalah 30 orang untuk satu-satu sesi latihan masakan.

“Kita sangat menggalakkan belia menyertai program kursus peningkatan kemahiran sebegini, tidak kira sama ada dianjurkan oleh pejabat daerah atau pun PYDC (Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang) supaya minat atau kemahiran sebegini dapat membantu mereka menjana pendapatan semasa tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) kini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri kerana menyediakan tempat untuk penganjuran bengkel kulinari pada kali ini.

Ketua Penolong Pegawai Daerah SPT, Sharlina Wahab; dan Penghulu Kanan PDT SPT, Hafizi Mohamad turut sertai acara perasmian kursus kulinari tersebut.

Sementara itu, Hafizi memberitahu bahawa PDT SPT pada 28 dan 29 November ini akan mengadakan kursus membuat enam jenis kek termasuk kek pisang, kek indulgence dan brownies khusus untuk belia juga.

“Program ini dianjurkan di bawah MMK Belia, jadi had umur penyertaan sehingga 35 tahun sahaja.

“Mereka yang berminat, boleh menghubungi nombor telefon pejabat 04-548 8888 atau terus whatsaap ke nombor 013-439 9494,” ujarnya sambil memberitahu penyertaan terhad seramai 30 orang sahaja bagi satu-satu kursus tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD