Exco gembira 1,927 RMM boleh bantu rakyat tidak layak dapat pinjaman bank, miliki rumah sendiri

Admin

GEORGE TOWN – Mereka yang tidak layak mendapat pinjaman perumahan daripada pihak bank masih berpeluang untuk memiliki rumah sendiri menerusi skim sewa milik (rent-to-own) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa sehingga kini, Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memiliki 1,927 unit rumah mampu milik (RMM) untuk membantu rakyat memiliki rumah pertama sendiri.

Menurutnya, bekalan hampir 2,000 unit rumah tersebut boleh wujud disebabkan langkah Kerajaan Negeri sejak dua tahun lepas membuka 30 peratus RMM kepada pasaran terbuka, dengan syarat kelayakan membeli yang lebih longgar demi merangsang lagi sektor hartanah swasta di negeri ini.

“Pada hari ini, pihak saya ada bekalan hampir 2,000 unit, pastinya rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR), sama ada Kerajaan Negeri boleh menjualnya ataupun membantu mereka yang tidak layak mendapat pinjaman perumahan daripada bank untuk memiliki rumah pertama mereka.

“Saya akan pastikan separuh daripada 2,000 unit ini bakal diagihkan melalui Skim Sewa Milik (Rent-To-Own Scheme) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

“Saya tunggu lama kerana saya yakin ia akan berlaku dan pada hari ini ia telahpun berlaku (iaitu) sekurang-kurangnya 1,000 keluarga yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank masih boleh dibantu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi skim ini,” jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC) pada sidang media di Komtar pada 2 Julai 2019.

Beberapa ahli jawatankuasa SPEC lain, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Azrul Mahathir Aziz (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bayan Lepas), A. Kumaresan (ADUN Batu Uban), Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota), Ong Ah Teong (ADUN Batu Lancang) turut sertai sidang media tersebut.

Hadir sama, beberapa wakil Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) serta peneraju syarikat-syarikat pemaju hartanah perumahan swasta lain.

Tambah Jagdeep, beliau masih ingat betapa kerasnya kritikan pihak tertentu terhadap cadangannya membuka 30 peratus pemilikan RMM kepada pasaran terbuka.

Namun, beliau menzahirkan rasa gembira kerana Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ada hampir 2,000 unit KR dan KSR untuk membantu mereka yang tidak layak mendapat pinjaman perumahan daripada bank.

“Saya membenarkan pembukaan kepada pasaran terbuka ini dengan syarat mereka (syarikat pemaju swasta) mesti jual pada harga 10 peratus lebih daripada harga jualan.

“Maksudnya, kalau (harga jualan asal) RMM itu RM300,000, harga itu kena dinaikkan kepada RM330,000 kepada pembeli.

“Daripada RM30,000 hasil jualan ini, saya tidak akan mengambil walaupun satu sen (daripada syarikat pemaju swasta).

“Saya nak mereka (syarikat pemaju swasta) beri kepada Kerajaan Negeri (dalam bentuk) unit rumah yang senilai dengannya, sama ada rumah kos rendah ataupun rumah kos sederhana rendah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa cadanganya pada ketika itu bertitik-tolak pada senario sektor hartanah yang berkembang perlahan, kadar rumah tidak terjual yang tinggi serta kadar permohonan pinjaman perumahan ditolak oleh bank mencecah hampir 70 peratus.

Beliau melihat efisien Skim Sewa Beli yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas bagi projek town house Taman Seruling Emas dan rumah pangsa Taman Sungai Duri Permai, kedua-duanya di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHONG KOK KUAN