Exco gembira MBPP, MPSP kekal dapat gred 5 bintang

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menzahirkan kegembiraan kerana kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya kekal mendapat lima bintang bagi tahun 2018, daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), apabila mereka mencapai penggredan lima bintang pada tahun 2015, saya kata itu bukan perkara mudah yang senang dicapai, tapi, yang lagi susah dicapai adalah untuk kekalkan (pencapaian lima bintang),” jelasnya pada sidang media selepas menyertai Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 3 Mei 2019.

Turut serta, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. Yew Tung Seang dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa bagi tahun 2018, MBPP mendapat 95.8 peratus sementara MPSP (95.9 peratus).

Pada tahun 2008, MBPP dan MPSP masing-masing mendapat gred 3 bintang, diikuti 4 bintang (2011 dan 2013), dan 5 bintang (2015 dan 2018).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD