Exco harap akuakultur negeri penuhi permintaan global

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH


GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap sektor akuakultur negeri mampu memenuhi permintaan makanan laut global.

Beliau berkata demikian dalam majlis Dialog Pertama Penternakan Ikan Akuakultur anjuran World Wildlife Fund Malaysia (WWF) selama dua hari yang membabitkan delegasi tempatan dan luar negara.

“Kerajaan Negeri percaya sektor akuakultur dapat memenuhi permintaan makanan laut global yang kian meningkat tanpa menjejaskan
alam sekitar.” ucap Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Menurut Dr. Afif, sektor akuakultur kian berkembang jika dilihat pada kepelbagaian penternakan ikan air tawar dan paya kolam serta marinkultur sangkar di negeri ini.

Industri penternakan ikan sangkar umpamanya, beliau berkata, sebanyak 6,655 tan metrik ikan bernilai hampir RM136 juta ada tahun 2010 berjaya dijana, berbanding tahun 2006.
Sebelum itu, Ketua Program Marin WWF Malaysia, Carol Phua turut berucap pada persidangan tersebut.

“WWF telah menjemput bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan isu ini termasuklah pengusaha ikan akuakultur, ahli-ahli pemasaran, para penyelidik dan pegawai-pegawai kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan dan bersetuju dengan kesan serta cadangan kepada industri penternakan tersebut” ujar Carol Phua.

Beliau berkata, dialog tersebut diharap dapat memangkin semua pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan amalan terbaik bagi “spesis ternak”.

“Kesan sampingan ke atas hidupan ikan ternak dan khususnya alam sekitar (marin) telah memerlukan kita untuk melihat lebih mendalam pada langkah-langkah yang dapat membantu bagi menangani rekod yang kurang memuaskan yang direkodkan industri ini,” ujarnya.

Justeru, katanya lagi, Pulau Pinang mampu menggunakan satu piawaian operasi yang digariskan oleh pihak berwajib bagi melaksanakan sistem pengurusan penternakan ikan akuakultur menjelang tahun 2015 nanti.