Exco harap naik taraf mesin pengangkat sampah, pam dapat kurangkan lagi risiko banjir di kawasan Perindustrian Perai

Admin
JAGDEEP Singh Deo (berkemeja belang) diiringi Sr. Rozali Mohamud (berkopiah) meninjau reka bentuk baharu perangkap sampah yang dihasilkan sendiri oleh pasukan jurutera MPSP, ketika melawat ke Rumah Pam Perai A dan B di sini pagi ini.

PERAI – Kerja-kerja penarafan mesin pengangkat sampah dan pam di Rumah Pam Perai A dan B di sini masing-masing menelan belanja Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang kira-kira RM3,080,600 dan RM3,680,000.

 

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap projek tersebut dapat mengurangkan lagi risiko banjir di kawasan Perindustrian Perai, yang terletak berhampiran muara sungai dan laut di sini.

 

“Sebelum ini, mesin pengangkat sampah di Rumah Pam Perai A dan Rumah Pam Perai B dalam keadaan uzur dan tidak mampu untuk beroperasi secara efisien ketika hujan lebat atau ketika air laut pasang tinggi, oleh itu, mesin pengangkat sampah baru telah diganti.

 

“Jumlah keseluruhan kapasiti pam juga telah ditambah daripada 42,436 liter sesaat kepada 48,036 liter sesaat bagi meningkatkan kemampuan kawalan banjir di kawasan Perindustrian Perai,” katanya selepas meninjau tahap efisien kedua-dua rumah pam tersebut di sini pada 3 September 2019.

 

Turut serta, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Perbandarannya, Ir. Rosnani Mahmud serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

 

Jagdeep bagaimanapun memberitahu, kerja-kerja penarafan di kedua-dua rumah pam tersebut hanya boleh mengurangkan risiko banjir di muara Sungai Perai sahaja.

 

Justeru, katanya lagi, MPSP telah memohon RM50 juta peruntukan persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pusat untuk kerja-kerja mengurangkan risiko banjir di hulu Sungai Perai, yang melibatkan kawasan Perindustrian Perai I dan 2.

 

“Saya difahamkan untuk menangani masalah banjir kilat di kawasan hulu sungai, MPSP telahpun memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

 

“Saya difahamkan permohonan (RM50 juta) itu telahpun dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan datang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Sementara itu, Rozali memberitahu MPSP saban tahun membelanjakan hampir RM1.5 juta untuk mengurus dan mengawal banjir di kawasan Perindustrian Perai meliputi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit (RM723,325); bayaran bil utiliti rumah pam (RM720,000) dan penyelenggaraan pam (RM70,000).

 

“MPSP dan Kerajaan Negeri senantiasa merancang supaya kawasan Perindustrian Perai diberi perhatian yang khusus kerana ia merupakan suatu lokasi industri yang terawal di Malaysia dan menjana peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

 

“Kita (MPSP) telah membersihkan parit monsun dan perangkap sampah tapi apa yang berlaku adalah banjir berpunca daripada sikap penduduk, apabila hujan, sampah yang ada di atas jalan di kawasan kompaun kilang-kilang dibawa masuk ke longkang, menyekat aliran air yang sepatutnya boleh bergerak lancar, lalu menyumbang kepada berlakunya banjir kilat,” jelasnya.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD