BATU UBAN – Sebanyak 12 jabatan, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkepentingan mengadakan perbincangan meja bulat selama sehari bagi memperkemas dan memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) penyelamatan gelandangan yang sedia ada di negeri ini.
Antara yang terlibat adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental serta Jabatan Pediatrik Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Sungai Bakap; Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Direktorat Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kerja Sosial HPP, Unit Geriatri Hospital Seberang Jaya (HSJ), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta sukarelawan mahasiswa dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (PPSK USM).

Berucap pada majlis tersebut, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim merakamkan penghargaan kepada ahli akademik dari PPSM USM, Dr. Syazwani Drani, atas kerjasama strategik termasuk mengemudi sesi perbincangan meja bulat berkenaan di universiti awam tersebut.
Siew Khim berkata, dengan kepakaran ahli akademik seperti Syazwani dalam kajian lapangan berkaitan kemiskinan, kebajikan sosial dan dasar pembangunan gelandangan, diharapkan usaha tersebut dapat memperbaiki SOP sedia ada termasuk aspek keberkesanan pengurusan kes gelandangan yang mengalami masalah kesihatan mental dalam setiap operasi bersepadu yang dilaksanakan pada peringkat lapangan kelak.
“Statistik di banyak bandar besar di Pulau Pinang, khususnya di George Town, menunjukkan bahawa gelandangan mental merupakan kumpulan yang semakin meningkat dan usaha membantu mereka memerlukan koordinasi rapat antara agensi.
“Penglibatan pihak akademik membuka ruang kepada penyelidikan berasaskan fakta, analisis objektif serta cadangan terarah demi penyelesaian jangka panjang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut senada dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, yang baru-baru ini menyatakan bahawa ramai gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur memilih makanan kerana terlalu banyak diberikan kepada mereka.
Siew Khim berkata, seperti di Kuala Lumpur, kawasan sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town turut menjadi tumpuan gelandangan apabila NGO menganjurkan program amal dengan mengagihkan makanan secara tidak sistematik.
Sehubungan itu, beliau berharap NGO berkenaan dapat menjadi rakan strategik kepada Kerajaan Negeri dengan melaksanakan program agihan makanan secara wajar dan sistematik hanya di Pusat Transit Gelandangan (PTG) berhampiran Jalan C.Y. Choy.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN