Exco harap pertandingan pidato dalam talian bantu proses padanan kerjaya belia, majikan

Admin

 

GEORGE TOWN – Normal baharu yang masih ditempuhi negara dan negeri ini sejak 18 Mac 2020 lepas bukan halangan untuk agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) untuk terus membantu proses pemadanan kerjaya antara belia dan majikan di Pulau Pinang.

Bermula pada 7 November 2020, PYDC berkolaborasi dengan tiga penganjur bersama lain iaitu Big Domain, MODEN Academy dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menjayakan Live Streaming Star Championship 2021, secara maya.

Daripada 288 orang yang menyertai pertandingan tersebut sebelum ini, bermula 2:30 petang tadi seramai 18 finalis secara dalam talian menunjukkan bakat masing-masing bagi memburu kejuaraan dalam pertandingan pidato tersebut.

Hasil penghakiman juri bertauliah, Sarah Ammar Lutf Al Anesi dipilih sebagai juara ‘Live Streaming Star Championship 2021’; diikuti Tan Kah Wei (naib juara pertama); Teoh Swee Ming (naib juara kedua).

Sementara itu, Pheh Kah Hui turut dipilih sebagai penerima saguhati pertama; Tan Woei Uen (saguhati kedua). Manakala Kah Wei dan Swee Ming masing-masing turut menerima anugerah bagi kategori lain.

SOON Lip Chee

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang mewakili Ketua Menteri, semasa berucap dalam sesi telesidang tadi antara lain menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut.

“Live Streaming Star Championship 2021 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Young Digital Talent Platform yang bertujuan mencorak pemadanan bakat dengan majikan dalam situasi menang-menang mengikut kondisi normal baharu.

“Saya percaya inisiatif ini tepat pada masanya dan akan menyumbang pada pemulihan ekonomi apabila tiba masanya,” jelasnya pada 10 Oktober 2021.

Di samping itu, Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berkata pertandingan tersebut juga akan memberi keyakinan kepada sekalian belia untuk meningkatkan keyakinan diri sebelum terjun dalam arena kerjaya pada masa hadapan.

“Sayang sekali kami (PYDC) tidak dapat mengadakan pertandingan ini secara fizikal, namun PDYC mengambil inisiatif mengadakan pertandingan ini secara maya,” katanya lagi.

Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling turut menyampaikan ucapan dalam acara maya tersebut.

Turut serta Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan USM, Prof. Madya Dr. Daisy Kee Mui Hung; jurulatih bertauliah berkaitan pengurusan tingkah laku (IGCSE dan Korikulum UK), Datin Indranee Liew; dan wakil beberapa firma lain.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD