Exco harap pewartaan FCZ rancakkan lagi ekonomi Pulau Pinang selaras Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Bagi merancakkan lagi ekonomi Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Exco pada 29 Mac lalu telah meluluskan permohonan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk mewartakan North Butterworth Container Terminal (NBCT) sebagai Zon Perdagangan Bebas (FCZ).

 

Menurut Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain, FCZ sedia ada adalah di Butterworth Deep Water Wharves yang mempunyai keluasan 56.6 hektar dan telah diwartakan sejak 20 Jun 1996.

 

“SPPP akan bertindak sebagai Pihak Berkuasa Zon, manakala Penang Port Sdn. Bhd. selaku operator zon.

 

“Antara manfaat NBTC sebagai kawasan FCZ adalah lokasinya yang strategik dan mampu menarik kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) kepada Pulau Pinang, memberi manfaat ekonomi, integrasi kepada ekonomi yang stabil, nilai tambah kepada pelabuhan serta membuka peluang pekerjaan,” ujarnya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas Pulau Pinang dekat Dewan Sri Pinang di sini, tadi.

 

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, berharap dengan pewartaan NBTC sebagai Zon Perdagangan Bebas, ekonomi Pulau Pinang akan terus dipacu sepertimana hasrat Penang2030.

 

Oleh : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD