Exco harap RMK-12 Persekutuan bekal cukup RMM untuk Pulau Pinang

BAYAN LEPAS – Negeri-negeri yang mendapat projek Rumah Mampu Milik (RMM) daripada Kerajaan Persekutuan wajar disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), syor Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

 

Menerusi RMK-12 juga, Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPEC) turut memohon Kerajaan Persekutuan memastikan perbekalan projek RMM untuk Pulau Pinang adalah mencukupi.

 

 

“(Kerajaan Persekutuan hari ini) ada menyebut bahawa sebanyak 500,000 unit lagi rumah mampu milik akan dibina dalam RMK-12 (dalam tempoh 5 tahun) bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.

 

 

 

“Sehubungan itu, saya memohon pertimbangan supaya negeri Pulau Pinang diberi perhatian dalam memastikan pembekalan RMM daripada Kerajaan Persekutuan,” ujar Jagdeep ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Projek Rumah Mampu Milik Havana Beach Residences di Bayan lepas pagi tadi.

 

 

 

 

 

Sehingga kini, Jangdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa pihaknya komited dalam memperjuangkan pembinaan RMM kepada rakyat Pulau Pinang dengan sasaran sehingga 220,000 unit menjelang tahun 2030.

 

 

 

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LMNPP) Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

 

 

 

Difahamkan, sejumlah 366 daripada 1,000 pemohon yang direkodkan dalam senarai menunggu dipilih untuk memiliki unit perumahan dalam projek RMM di sini.

 

 

 

Projek RMM tersebut mula dimajukan pada bulan Februari lepas dan anggaran tarikh siap kerja adalah dalam suku keempat 2024.

 

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa projek RMM yang terdiri daripada 1,342 unit rumah dengan keluasan 850 kaki persegi di sini adalah dimajukan Solaris Prestasi Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Ideal Property Group.

 

 

 

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemaju Ideal Property Sdn. Bhd. kerana aktif menyertai Kerajaan Negeri dalam pembinaan RMM,” jelasnya lagi.

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN