Exco Kesihatan respons jumlah kes denggi meningkat di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sebanyak 290 kes denggi dilaporkan di Pulau Pinang pada minggu kedua tahun ini (6 hingga 12 Januari 2019), berbanding 216 kes pada minggu sebelum itu (30 Disember 2018 hingga 5 Januari 2019), dengan peningkatan sebanyak 74 kes atau 34.26 peratus.

Sehingga minggu kedua bagi tahun 2019 juga, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaporkan terdapat dua kes kematian akibat denggi berbanding tiada kes kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2018.

Menjawab soalan pemberita, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa Jabatan Kesihatan Negeri sedang menggandakan usaha pemeriksaan rumah serta kawasan-kawasan khas wabak, demi memastikan jumlah kes denggi yang dilaporkan tidak terus meningkat.

“Sekarang, Jabatan Kesihatan Negeri telah menyediakan suatu peranti, telahpun diedarkan di tujuh hingga sembilan kawasan khas, termasuk kawasan perumahan

“Selain tindakan daripada JKN, tanggungjawab daripada komuniti juga amat penting terutamanya pada aspek kebersihan.

“Buat masa ini, saya ingin menasihatkan semua untuk memakai ubat cegah gigitan nyamuk dan elak ke luar (rumah) antara jam 6 pagi hingga 8 pagi serta 6 petang hingga 8 malam, yang mana nyamuk ketika itu aktif dan mungkin menggigit anda.

“Sila gunakan racun serangga atau aerosol untuk melindungi diri anda,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 16 Januari 2019.

Hadir sama, beberapa Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Rakyat Pulau Pinang yang lain.

Pada 14 Januari 2019 lalu, Jabatan Kesihatan Negeri mengeluarkan kenyataan bertulis mengenai situasi semasa kes denggi negeri Pulau Pinang dalam tempoh 6 hingga 12 Januari lepas.

Menurut laporan itu, secara kumulatif sehingga 12 Januari 2019 menyaksikan sebanyak 506 kes denggi dilaporkan, berbanding 177 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2018, dengan peningkatan sebanyak 329 kes atau 185.88 peratus.

Menurut laporan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri mengenai situasi semasa kes denggi di Pulau Pinang menyaksikan 65 lokaliti wabak terkawal; sementara empat lokaliti wabak lain adalah tidak terkawal.

Terdapat lima lokaliti ‘hotspot’ iaitu di Mutiara Idaman, dan Jermal Court di daerah Timur Laut; lokaliti Taman Machang Bubok Zon E dan Taman Desa Damai (Lorong Nangka 2-12) di daerah Seberang Perai Tengah dan lokaliti Taman Merak Jaya di Daerah Seberang Perai Selatan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD DAUD