Exco lulus serta-merta RM150,000 selenggara parit pembentung di Jalan Cantek

Admin

BAGAN JERMAL – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berharap agar kerja-kerja mengorek sisa di parit pembentung dekat Jalan Cantik dengan kos RM150,000 dapat mengurangkan lagi risiko banjir kilat di sini.

ZAIRIL Khir Johari.

“Dah bertahun-tahun tidak ada penyelenggaraan, kali terakhir diperiksa dan dibersihkan parit pembentung di bawah jambatan ini adalah pada tahun 2013.

“(Ketika ini,) boleh dikatakan lebih 90 peratus (parit pembentung) tersumbat di bawah jambatan ini…saya rasa kalau dibiarkan kelak akan tersumbat 100 peratus.

“Justeru, kita luluskan kos siling RM150,000 daripada dana tabung caruman perparitan negeri untuk melakukan kerja-kerja kecemasan ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga ketika melawat tapak kerja-kerja penyelenggaraan di sini pagi tadi.

Turut serta, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal; Pengarah Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Pulau Pinang, Ir. Sukri Muslim; beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa pihaknya sedar mengenai parit pembentung di bawah jambatan tersumbat ketika pelaksanaan kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Banjir (RTB) Mak Mandin baru-baru ini.

“30 Mei lalu, selepas lawatan tapak, serta-merta saya meluluskan peruntukan RM150,000 daripada sumber (dana tabung) caruman perparitan negeri Pulau Pinang,” jelasnya lagi.

Selepas projek tersebut siap, menurut Zairil, pihak MBSP memberi jaminan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran dua kali dalam setahun di sini.

Sementara itu, Lip Chee pula menzahirkan penghargaan atas kelulusan peruntukan kecemasan tersebut secara serta-merta bagi kerja penyelenggaraan yang dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

Seperti Zairil, Lip Chee juga berharap agar risiko banjir kilat dekat Taman Cantik serta beberapa kawasan perumahan di sini dapat dikurangkan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD