Exco mahu operasi bersepadu kebersihan premis makanan diteruskan

Admin

GEORGE TOWN – Tindakan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu kebersihan premis makanan di negeri ini perlu diperhebatkan dari masa ke masa bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan penduduk sentiasa terjamin.

 

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, operasi bersepadu kebersihan antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) perlu diteruskan bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan penyediaan makanan di negeri ini.

 

Menurutnya, berpegang kepada cogan kata ‘Pulau Pinang Lebih Bersih, Lebih Hijau, Lebih Sihat dan Lebih Selamat’, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya menerima pelbagai pengiktirafan bukan sahaja di peringkat negeri dan nasional malah juga antarabangsa.

 

“Pada Januari tahun ini, George Town telah diiktiraf sebagai bandar raya terbersih di ASEAN (berjaya memenuhi kriteria ASEAN Clean Tourist City, ACTC) dalam suatu majlis yang diadakan di Chiangmai, Thailand.

 

“Jadi, menjadi tanggungjawab kita melalui pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kebersihan di premis-premis makanan awam.

 

“Oleh itu, saya memberi amaran kepada operator (pengendali) premis-premis makanan, ‘jangan main-main’ dengan Kerajaan Negeri, kita (Kerajaan Negeri) akan meminta MBPP dan JKNPP untuk tingkatkan tindakan penguatkuasaan dalam operasi bersepadu ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar, tadi.

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Kesihatan Persekitaran & Pelesenan MBPP, Dr. Judy Shoba dan Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP, Azman Sirun.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) bersama-sama Ar. Yew Tung Seang (kiri) dan Dr. Judy Shoba (kanan) pada sidang media di Komtar, tadi.

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut memuji usaha MBPP dan JKNPP atas tindakan tegas terhadap pengendali premis makanan yang kotor.

 

“JKNPP mempunyai kuasa untuk menutup premis-premis makanan yang kotor di bawah Akta Makanan 1983 manakala MBPP pula boleh mengenakan kompaun atas kesalahan yang dilakukan.

 

“(Dan) sejak 2015 sehingga ke hari ini (31 Julai 2018), 165 premis makanan telah dikenakan tindakan tutup premis; 28,636 kompaun Establishment Makanan dan 2,112 kompaun perangkap gris,” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 6,164 Lesen Establishment Makanan telah dikeluarkan oleh MBPP setakat ini.

 

Difahamkan, setiap kesalahan yang dikenal pasti akan dikenakan kompaun antara RM30 hingga RM250 mengikut Undang-undang Kecil (Establishment Makanan) MPPP 1991 dan Undang-undang Kecil (Kebersihan & Keselamatan Awam).

 

Pada 13 Julai lalu, sebuah restoran mamak terkenal di bandar raya ini diarahkan tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan kotor, disusuli tindakan penutupan tiga kedai kopi dekat Jalan Penang pada 18 Julai.

 

Terbaru, 24 Julai lalu, dua lagi premis makanan dikenakan tindakan serupa kerana gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN