SEBERANG JAYA – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye hari ini menyempurnakan acara perasmian Program Anugerah Komuniti Mampan Peringkat Seberang Perai Tahun 2025 di Auditorium, Menara Bandaraya MBSP di sini.
Semasa berucap, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berharap acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima lebih banyak penyertaan berbanding tahun sebelumnya.
“Program Anugerah Komuniti Mampan ini telah bermula sejak tahun 2013 yang mana pada peringkat awal hanya 12 komuniti yang terlibat.
“Dengan sokongan daripada MBSP, maka, komuniti yang terlibat semakin bertambah dengan 16 komuniti menyertai pertandingan ini pada tahun lepas (2024).
“Dengan penambahan beberapa kategori khas (dalam Program Anugerah Komuniti Mampan) pada tahun ini, saya harap bertambah lagi (penyertaan) komuniti,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di sini pada 12 Ogos 2025.

Beliau turut memaklumkan bahawa kadar kitar semula semasa MBSP kini mencapai 59 peratus.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif SAM Engineering & Equipmeny (M) Berhad, Ng Boon Keat atas penajaan program anugerah komuniti mampan pada kali ini dengan peruntukan berjumlah RM20,000.
Sebelum pada itu, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor turut berucap bagi mewakili Datuk Bandar, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.
Beliau memberitahu bahawa MBSP konsisten melaksanakan acara tahunan tersebut antara lain bertujuan memberi pengiktirafan atas segala inisiatif serta penambahbaikan pencapaian komuniti berkaitan meningkatkan kualiti alam sekitar serta memperkukuh aspek kemampanan komuniti.
“Matlamat ini selaras dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Tindakan Local Agenda 21 (LA21) Seberang Perai.
“Program Anugerah Komuniti Mampan ini melibatkan penyertaan terbuka kepada semua Majlis Pengurusan Kemajuan Komuniti (MPKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Penduduk (RA), Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurursan (MC) dan Pertubuhan Sukarela berasaskan komuniti di kawasan Seberang Perai,” jelasnya lagi.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa pendaftaran bagi menyertai program tersebut boleh dibuat bermula pada 1 hingga 31 Ogos ini, sementara tarikh akhir penghantaran laporan berwajib pada 31 Disember 2025.
“Bagi penilaian oleh juri dan penyampaian hadiah kepada pemenang pula akan bermula pada bulan Januari 2026.
Bagi penyampaian hadiah adalah merupakan tajaan daripada syarikat SAM Engineering & Equipment (M) Berhad sepenuhnya dengan jumlah tajaan sebanyak RM20,000.
“Bagi setiap pemenang akan menerima hadiah wang tunai mengikut kategori yang dipertanding dan sijil penghargaan,” katanya lagi.
Buletin Mutiara difahamkan, proses penjurian menilai aspek kitar semula dan upcycle (20 peratus), pertanian bandar (20 peratus) pengurusan sisa organik (15 peratus), kebersihan dan penghijauan (15 peratus) dan baki 30 peratus lagi dengan melihat aspek pengurusan, pendidikan dan kelestarian.
Johan anugerah akan membawa pulang wang tunai RM2,500 berserta sijil penghargaan; diikuti naib johan (RM2,200), ketiga (RM1,500), keempat (RM1,000), dan sebagainya.
Dalam perkembangan lain, Mooi Lye turut memberi respons berkenaan isu sebuah premis komersial dekat Taman Bertam Permata, Kepala Batas yang dikatakan salah pasang Jalur Gemilang baru-baru ini.
“Sebagai pihak yang berpengetahuan, sekiranya kita melihat ada orang lain tersilap pasang bendera (Jalur Gemilang), sewajarnya kita memberikan tunjuk ajar (bagaimana memasang bendera secara betul di premis masing-masing) sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kebangsaan 2025,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD