Exco minta PBT rancang pelan tindakan lima tahun

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diminta menggariskan pelan tindakan lima tahun bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yoew berkata demikian dalam Bengkel Empowering Local Council di sini baru- baru ini.

“Sememangnya setiap PBT (pihak berkuasa tempatan) telah mempunyai fokus masing-masing, namun, ia tidak akan bercanggah sekiranya kita (MPPP dan MPSP) mengadakan garis panduan pelan tindakan ini.

“Pelan ini wajar memandangkan rakyat kini ingin melihat perubahan lebih besar, terutama dalam penyampaian perkhidmatan,” ucap Kon Yeow di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif turut berkongsi pengalaman menguruskan PBT terbesar di Malaysia dalam bengkel tersebut.

Hadir bersama, semua Ahli Majlis bagi MPPP dan MPSP yang baru dilantik bagi sesi Julai hingga 31 Disember 2013.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, PBT mesti mencari jalan supaya Pulau Pinang kian dilihat mempunyai persekitaran yang paling sesuai didiami serta destinasi pelancongan dan pelaburan terunggul di rantau ini.

Justeru, beliau berkata, semua pihak berwajib harus berani menempuhi cabaran dari segi psikologi dan behavioral change demi meningkatkan lagi imej negeri di persada dunia.