Exco mohon Kerajaan Persekutuan jelaskan status inisiatif perumahan semasa

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo akan mengutuskan surat kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin bagi mendapatkan penjelasan berhubung status terkini inisiatif perumahan yang dilaksanakan sebelum ini.

Menurut Jagdeep, hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah untuk meneruskan segala inisiatif yang dirancang oleh pentadbiran sebelum ini memandangkan isu berkaitan perumahan adalah isu hak asasi rakyat.

Berdasarkan perkembangan politik semasa yang berlaku kini, Kerajaan Negeri perlu memastikan segala usaha yang dirancang dapat diteruskan.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan Bahagian Perumahan (Pejabat Setiausah Kerajaan Negeri) untuk menghantar surat bagi mengetahui status terkini tentang permohonan dan perancangan negeri sebelum ini, sama ada diteruskan atau tidak kita (Kerajaan Negeri) perlu tahu,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Exco dekat Komtar hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan, ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

Terdahulu, Jagdeep mempengerusikan Mesyuarat MMK Perumahan Bilangan 1/2020 di Komtar bagi mendapatkan maklum balas semasa berkaitan perumahan.

“Saya harap sebelum mesyuarat akan datang, isu-isu (mengenai status permohonan dan perancangan perumahan) ini telah diuruskan sewajarnya.

“(Dan) apa jua kelulusan yang diberikan oleh pentadbiran sebelum ini perlu ditunaikan termasuk projek-projek yang sedang berjalan perlu dilaksanakan sehingga selesai.

Segala permohonan yang belum diluluskan, saya berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya…seperti kata Ketua Menteri semalam, kita (Kerajaan Negeri) tidak mengharapkan layanan istimewa tetapi layanan yang adil dan saksama.

“Lagipun Perdana Menteri kelapan telah menyatakan bahawa beliau ialah Perdana Menteri untuk semua dan saya harap ia termasuk Pulau Pinang,” katanya.

(Dari kiri); GOOI Zi Sen, Teh Lai Heng, Jagdeep Singh Deo, Lim Siew Khim dan Ong Ah Teong pada sidnag media di Komtar hari ini.

Dalam sidang media sama, Jagdeep memaklumkan melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM), daripada 123 permohonan yang berjumlah RM72,325,669.59, sebanyak 29 telah diluluskan. Bakinya masih belum diketahui sama ada akan diluluskan ataupun tidak.

Begitu juga bagi Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP), daripada 14 permohonan, 10 telah diluluskan.

Bagi cadangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) pula, sebelum ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan lima cadangan tapak bagi pembangunan projek berkaitan, namun kini status pelaksanaannya tidak diketahui.

Malah, melalui Belanjawan 2020, mantan Menteri Kewangan telah mengumumkan dana sebanyak RM10 bilion bagi pelaksaan skim sewa beli atau rent to own scheme dengan jaminan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3 bilion yang mana statusnya juga tidak diketahui.

Dalam pada itu, Jagdeep turut meminta maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung halatuju inisiatif pembekalan rumah mampu milik Persekutuan yang mana sebelum ini sebanyak 8,176 unit telah dirancang membabitkan pembangunan di daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

“Rancangan ini termasuk membangunkan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan unit-unit rumah mampu milik Jenis B dan C.

“(Dan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan Persekutuan dalam menyediakan rumah untuk rakyat di negeri ini,” jelasnya yang turut berharap ia dapat diteruskan oleh pentadbiran kini.

Menyentuh mengenai agenda pembaharuan semula bandar, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengenal pasti skim-skim perumahan untuk diremajakan semula.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga akan mengutuskan surat kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG) bagi mendapatkan maklum balas berhubung inisiatif ini.

“Sekiranya tidak diteruskan di peringkat Persekutuan maka Kerajaan Negeri mempunyai agendanya sendiri untuk meneruskan inisiatif ini demi rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, Jagdeep berkata, beliau tidak menuntut penjelasan tersebut dijelaskan segera sebaliknya berharap dapat memperoleh maklum balas setelah pembentukan Kabinet baharu dibuat kelak.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN