Exco nafi P.Pinang catat satu kes kematian akibat HFMD

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin menafikan khabar angin yang tular sejak semalam, kononnya telah ada satu kes kematian akibat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pulau Pinang.

 

Menurut beliau, setakat ini, sebuah sekolah telah ditutup sepenuhnya bersama-sama 31 kelas tertentu dari enam sekolah lain, sebagai langkah pencegahan pada wabak tersebut.

 

“Mesej sejak semalam kononnya ada kematian, setakat sekarang tiada rekod kematian akibat daripada HFMD ini.

 

“Yang tutup sepenuhnya hanya SJKC Shih Chung, manakala enam sekolah lain sebahagian kelas sahaja ditutup.

 

“Apabila seorang kanak-kanak disahkan mengidapi penyakit HFMD, kita tidak akan membenarkan duduk di kawasan-kawasan awam seperti sekolah, mereka harus dikuarantin dan elok rehat di rumah sahaja,” jelas Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dalam satu sidang media di sini tengah hari 19 Julai 2018.

 

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan mengenai peri penting persekitaran sekolah, pra sekolah mahu pun pusat-pusat jagaan kanak-kanak supaya bersih demi mengelak risiko wabak tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RAZI

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD