Exco perkenal empat pembaharuan dalam menjenamakan semula PBIM sebagai acara berprestij peringkat antarabangsa

GEORGE TOWN – Empat perubahan bakal dilaksanakan tahun ini dalam mengangkat semula martabat Penang Bridge International Marathon (PBIM), maklum Exco Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Yeoh Soon Hin.

Katanya, untuk edisi kali ini, tarikh tutup PBIM 2018 diawalkan kepada 31 Ogos ini bagi memastikan segala persiapan untuk acara berprestij tersebut yang dijadualkan pada 25 November depan berjalan lancar.

Terkini seramai 23,000 peserta sudah mendaftar dan saya tidak kisah sekiranya kekurangan peserta kerana lazimnya akan tutup kira-kira satu bulan sebelum, sebaliknya kali ini saya lebih pentingkan kualiti.

Dalam memastikan pelari selesa untuk bertanding mengikut masa yang dihadkan, jawatankuasa PBIM juga telah bersetuju menggugurkan kategori Fun Run…. lazimnya pelari Fun Run menjadi halangan kepada pelari-pelari yang bertanding apabila mereka berhenti untuk bergambar dan sebagainya.

Difahamkan kategori Fun Run juga menjadi punca utama pelari-pelari ternama dunia enggan menyertai PBIM,” tegas beliau yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran PBIM 2018.

Selain itu, pelepasan peserta pada tahun ini cuma akan dilakukan sebanyak tiga kali sahaja berdasarkan kategori 42 kilometer (km), 21km dan 10km bagi mengelakkan kekeliruan waktu flag-off yang boleh menyebabkan pembatalan.

Penambahbaikan seterusnya adalah penambahan sweeper ballons seramai tiga orang (marathon penuh sahaja) yang akan berlari pada kadar yang sesuai dalam menentukan kelayakan seseorang peserta itu mendapat pingat.

Bagi yang tidak mampu berlari dihadapan sweeper balloons, tidak perlu bimbang kerana kita menyediakan bas untuk membawa anda ke garisan penamat berikutan jambatan perlu dibuka tepat jam 10 pagi,” ujar Soon Hin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Pada sidang media sama, beliau turut menunjukkan rekaan pingat bagi PBIM 2018 dan seperti kelaziman sebuah kereta akan menjadi hadiah utama cabutan bertuah pada penganjuran berkaitan.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI