Exco persoal layan dwistandard pelaksanaan projek tambakan laut

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mempersoalkan layanan dwistandard yang diterima susulan pembatalan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut di selatan pulau, Pulau Pinang (PSR) oleh Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata sedemikian sebagai respons terhadap soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye yang bertanyakan mengenai kesukaran melaksanakan projek PSR berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

 

Kerajaan Negeri amat hairan kenapa projek PSR ‘dimangsakan’ walhal jika dibandingkan projek PSR dengan projek tambakan berskala mega di negeri-negeri lain seperti Johor dan Melaka, projek ini tidaklah begitu besar.

 

“Malah alasan yang diberikan dalam pembatalan tersebut (untuk mengetepikan kelulusan EIA) sebenarnya tidak boleh diterima langsung.

 

“Hakikatnya projek PSR telahpun diluluskan dan memenuhi semua kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling, maka keputusan tersebut dianggap sebagai satu ketidakadilan kepada negeri Pulau Pinang.

 

“Sebenarnya, Kerajaan Negeri tidak mempertikai…sebaliknya yakin proses perundangan di negara ini, cuma yang menjadi persoalan adalah layanan dwistandard dan pemangsaan yang berlaku terhadap Pulau Pinang,” ujar ADUN Tanjong Bunga itu pada sesi soalan lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas.

 

Terdahulu, Zairil ketika menjawab soalan lisan oleh ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik memaklumkan bahawa Lembaga Rayuan yang bersidang pada 6 hingga 8 September 2021 telah memutuskan Laporan EIA bagi projek PSR yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling pada 25 Jun 2019 diketepikan.

 

Difahamkan, keputusan tersebut adalah kerana kelulusan telah diberikan sebelum Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 digazetkan dan berkuat kuasa.

 

“JAS memaklumkan sekiranya Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan projek ini, Laporan EIA yang baru dengan data terkini hendaklah dikemukakan untuk pertimbangan lanjut.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri akan mengemukakan semula Laporan EIA ini serta penyediaan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan.

 

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan memohon semakan semula kehakiman kerana implikasi pembatalan tersebut telah mengganggu perancangan awal dalam memulakan kerja-kerja penambakan yang sepatutnya bermula pada penghujung tahun ini,” jelasnya yang yakin dengan integriti laporan terdahulu walaupun diketepikan atas sebab teknikal.

 

 

Mengulas mengenai tanggungan kos sekiranya projek PSR tidak mendapat kelulusan, Zairil berkata pihaknya akan berbincang secara terperinci mengenai bayaran balik kos-kos yang dibelanjakan oleh pihak Rakan Pelaksana Projek (PDP) iaitu SRS Consortium berdasarkan ‘PDP Master Agreement’.

 

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri yakin bahawa kelulusan projek tambakan PSR ini akan diperolehi,” katanya.

 

Dalam sesi sama, Zairil turut menjawab soalan tambahan daripada ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang membangkitkan isu risiko kemungkinan projek PSR ini tidak akan dilaksanakan langsung sekiranya laporan baru dikemukakan semula kelak.

 

Laporan baru yang akan dikemukakan itu hampir sama dengan yang dikemukakan sebelum ini cuma perbezaannya adalah daripada segi turutan pelaksanaan projek.

 

“Kelulusan EIA yang awal, turutannya adalah membina Pulau B dahulu, tetapi Kerajaan Negeri beranggapan bahawa Pulau A akan dibina terlebih dahulu memandangkan ia lebih penting sebagai kawasan perindustrian baru bagi menampung kawasan perindustrian di Bayan Lepas dan Batu Kawan,” jelasnya yang yakin sekiranya diluluskan maka projek PSR dapat dimulakan pada penghujung tahun hadapan.

 

Choon Aik dalam sesi sama turut membangkitkan persoalan sama ada Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk melaksanakan projek laluan transit aliran ringan (LRT) sementara menunggu keputusan projek PSR.

 

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengkaji kemungkinan untuk memanggil Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi menjemput syarikat yang berminat untuk membina LRT Bayan Lepas.

 

“(Dan) pada masa sama, memberi peluang kepada mereka untuk menawarkan reka bentuk yang sesuai yang boleh dipertimbangkan bagi projek LRT berkenaan,” katanya.

 

Sebagai rekod, projek LRT Bayan Lepas merupakan salah satu komponen utama di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang mana turut merangkumi komponen projek lebuh raya Pan Island Link (PIL1 dan PIL2) serta projek PSR.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN